Saturday, July 5, 2008

Aktiviti ABIM Sabah

ABIM Sabah 25 Tahun Mendidik Akal Budi

Tahun 2007 telah menggenapkan 25 Tahun, ABIM di persada dakwah negeri Sabah. Dalam tempoh berkenaan ABIM Sabah secara sadar telah menggalas tanggungjawab dan amanah untuk membangunkan masyarakat dengan penuh komitmen dan iltizam. ABIM Sabah berjaya meletakkan satu tanda aras kepada aktiviti-aktiviti dakwah yang responsif kepada isu dan keperluan semasa. Pada masa yang sama ABIM Sabah berusaha untuk menyemarakkan gerak kerja dakwah dengan mengajak dan menjemput kalangan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, lain-lain pertubuhan massa untuk terlibat sama ada sebagai penganjur bersama, pengisi program mahupun sebagai peserta. 

Tahun 2008 ABIM Sabah berusaha untuk  meneruskan gerak kerja dan aktiviti dakwah pada aras dan momentum yang sama. Demam Pilihanraya Umum ke-12 (PRU12) sekitar awal tahun 2008 dan kemuncaknya pada Mac 2008 yang lalu, telah menuntut ABIM Sabah mengambil pendekatan bijaksana dan non-partisan dalam membaca suasana demi maslahat umat Islam di Sabah.


Program Umum sepanjang November 2007 -Mei 2008

Program Jati Diri Kesukarelaan Nasional (PJKN) anjuran ABIM Sabah, Kementerian Belia dan Sukan Sabah dan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia  telah diadakan di Balung Eco-resort Tawau pada 10-16 Disember 2007. Program ini telah disertai 150 orang pelatih yang terdiri daripada belia dan beliawanis Daerah Tawau khususnya Dewan Undangan Negeri Merotai termasuk empat orang peserta non-muslim. YB Datuk Liew Yun Fah, Menteri Belia dan Sukan Sabah telah merasmikan majlis penutupan program berkenaan.  Turut hadir Sdr. Muddin Beting, YDP ABIM Sabah. Fasilitator PJKN ini terdiri dari kalangan ahli Biro Siswazah Muda ABIM (SISMA) Sabah dan ahli-ahli ABIM Daerah Tawau dengan bimbingan wakil dari ABIM Pusat.

 

Kembara Amal ABIM III-2007 anjuran ABIM Sabah dengan kerjasama Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Kementerian Belia dan Sukan Sabah telah diadakan pada 23-28 Disember 2007. Kembara Amal III-2007 ini memilih laluan pedalaman Sabah yang bermula dari Kota Kinabalu, Tambunan, Keningau dan Tenom dan kembali ke Kota Kinabalu. Kembara Amal III-2007 ini adalah kesinambungan Kembara Amal I-2005 (laluan Pantai Timur) yang meliputi laluan Kota Kinabalu, Ranau, Kinabatangan, Lahad Datu dan Tawau dan Kembara Amal II-2006 (laluan Selatan, Limbang Sarawak dan Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam). Kembara Amal ABIM III-2007 ini telah disertai 40 orang peserta termasuk wakil Majlis Belia Daerah Muara Brunei Darussalam. Aktiviti utama Kembara Amal ini di samping lawatan juga meliputi gerak kerja bersama masyarakat setempat seperti Tayangan Amal, rawatan kesihatan, kerja kebajikan, bimbingan motivasi pelajar dan dialog bersama masyarakat setempat.

 

Seminar-Dokumentari Al-Ghazali: "The Alchemist of Happiness" anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Cawangan Sabah dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sabah dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) sempena Sambutan Maulidur Rasul 1429H Peringkat Negeri Sabah telah diadakan pada 15 April 2008 di Auditorium Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Likas, Kota Kinabalu. Seminar ini adalah salah satu simbol manifestasi dan solidariti umat Islam di negeri Sabah untuk memperkasakan warisan khazanah nubuwwah dan menggali iktibar serta pengalaman ilmuan Islam sepanjang zaman serta menelusuri sejarah dan perjuangan Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali serta mengambil iktibar untuk membangunkan generasi muda. Seminar-Dokumentari ini turut mengundang Yang Mulia Prof Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud, mantan Timbalan Pengarah ISTAC  menyampaikan syarahan bertajuk "Al-Ghazali : Peri Penting Tokoh dan Relevansinya Dalam Konteks Semasa". 


Seminar-Dokumentari ini telah dihadiri 700 peserta yang terdiri dari pelajar IPT, pelajar menengah atas, ahli akademik, pendidik, kakitangan kerajaan dan swasta, wakil-wakil NGOs dan orang awam.

 
Program-Program Dalaman Sepanjang November 2007-Mei 2008

Di samping program-program umum berkenaan, ABIM Sabah terus berusaha untuk memperkukuhkan program-program dalaman seperti berikut:

Tamrin Qiyadi ABIM Sabah Bil.1/2008 telah diadakan pada 7-9 Februari 2008. Tamrin ini telah dihadiri oleh 40 orang peserta yang terdiri dari pimpinan ABIM negeri Sabah, pimpinan ABIM Daerah, pimpinan HELWA dan Siswazah Muda ABIM Sabah (SISMA). Tamrin ini telah diadakan di rumah ABIM Sabah. Dr. Mohd Farid Mohd Shahran, Timbalan Presiden ABIM yang telah menyampaikan Kuliah Mendidik Akal Budi dan membentang tajuk Gerakan Islam di Malaysia: Sejarah dan Masa Depan dan Encik Mat Zin Mat Kib (Pensyarah Kanan, UiTM Sabah) telah membentangkan tajuk "Gerakan Kristinisasi di Sabah: Suatu Soroton Ilmiah" . Para peserta juga telah didedahkan dengan Pengenalan Berfikir Secara Mantiq dan KBKK.

Tamrin SISMA ABIM Sabah Bil.1/2008 telah diadakan pada 9-11 Mei 2008. Tamrin ini telah dihadiri oleh 15 orang peserta yang terdiri dari pimpinan Siswazah ABIM Sabah (SISMA). Tamrin ini telah diadakan di rumah ABIM Sabah. Di antara topik-topik yang dikupas ialah Islam sebagai Ad-Din, memahami harakah Islamiah, peranan generasi muda dan bengkel. Sebahagian pimpinan ABIM  telah dijemput untuk mengisi program berkenaan.

Sukaneka TASKI ABIM 2008 telah diadakan pada 11 Mei 2008 bertempat di Pantai Tanjung Aru, Kota Kinabalu. Majlis ini telah dirasmikan oleh Dr. Arsiah Bahrun, Ahli Jawatankuasa Kerja WADAH Sabah merangkap Mantan Ketua Helwa ABIM Sabah.

Majlis pertemuan dengan Tuan Haji Ahmad Azam Abdul Rahman, Naib Presiden WADAH. Majlis berkenaan telah diadakan di rumah Tuan Haji Sulaiman Hj Osman pada 19 Mei 2008. Majlis berkenaan turut dihadiri oleh pimpinan WADAH Sabah, Exco ABIM Sabah, Helwa dan SISMA. Dalam majlis berkenaan Tuan Haji Ahmad Azam telah menegaskan agar ahli WADAH dan ABIM  untuk memberikan sumbangan secara signifikan kepada gerakan Islam.

Makan Malam bersama Tuan Haji Ag. Matusin Hj Ag. Binting (Pegawai KKBS). Beliau akan bersara dari perkhidmatan kerajaan. Makan malam berkenaan telah diadakan pada 13hb Mac 2008 di Putatan. Majlis berkenaan telah dihadiri oleh Exco ABIM Negeri dan Pengerusi WADAH Sabah, Tuan Haji Sainuri b. Yahmin.

Mesyuarat KBI Kawasan Sabah. Exco ABIM Sabah dan ahli-ahli ABIM yang juga ahli Koperasi Belia Islam (KBI) telah menghadiri mesyuarat KBI Kawasan Sabah pada 12 April 2008 yang lalu. Tuan Haji Ahmad Saiful Alwi Md Nor, Setiausaha Kewangan ABIM Pusat, merangkap Ahli Lembaga Pengarah KBI telah hadir dan memberi taklimat dan laporan mengenai  perjalanan dan pencapaian bagi tahun 2007. Semasa mesyuarat berkenaan, Sdr Sunoto Yahmin (Ahli Jawatankuasa WADAH Sabah) dan Sdr. Saripuddin Hj Apo (Ketua Biro Tugas-tugas Khas, ABIM Sabah) masing-masing telah dilantik semula sebagai pengerusi dan setiausaha KBI kawasan Sabah. 

Majlis Makan Malam bersama Tuan Haji Ahmad Saiful Alwi Md Nor. Exco ABIM Sabah telah meraikan Tuan Haji Saiful Alwi (Setiausaha Kewangan ABIM Pusat) dengan majlis makan malam pada 12 April 2008 yang lalu. Selepas majlis berkenaan perbincangan mengenai ABIM dan isu-isu semasa telah diadakan.

 
Penyertaan program  luar dan kebangsaan

ABIM Sabah juga turut memenuhi undangan dan penyertaan dalam aktiviti luar seperti berikut;

Tamrin Qiyadi ABIM Pusat 

Pada 9-11 Mei 2008. ABIM Sabah menghantar Sdr. Mohd. Zikri Zainuddin (Ketua Biro Siswazah Muda) sebagai wakil ABIM Negeri.

Seminar Pelbagai Martabat dan Sifat Akal Fikiran Dalam Tradisi Ilmiah Tamadun Islam 

Anjuran IKIM pada 13-14 Mei 2008. ABIM Sabah telah menghantar Sdr. Mohd Zikri Zainuddin untuk menghadiri seminar berkenaan.

Lawatan dan Ziarah ke Damascus Syria, 25-28 November 2007. 

ABIM Sabah turut menghantar Sdr. Abdul Manap Mahmud (TYDP)  dan Tuan Haji Matusin Ag Binting (Pegawai Kementerian Belia dan Sukan Sabah) menyertai lawatan dan Ziarah ke Damascus Syria anjuran ABIM Pusat, YADIM dan INMIND. Perwakilan ABIM Sabah ini telah dibiayai sepenuhnya oleh Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KKBS). KKBS turut membiayai wakil ABIM Sabah ke lawatan dan Ziarah Timur Tengah pada tahun 2005 dan 2006.



 
Jemputan Khas Menteri Belia dan Sukan Sabah ke Majlis Sambutan Tahun Baru Cina 2008. 

Sdr. Muddin Beting (YDP ABIM Sabah) telah menerima jemputan khas Menteri Belia dan Sukan Sabah untuk menghadiri sambutan Tahun Baru Cina 2008 di Tawau. Undangan berkenaan disertakan dengan Tiket Penerbangan pergi-balik Tawau - Kota Kinabalu.
 


Konvensyen Perdana Belia Peringkat Negeri 2008. 

ABIM Sabah turut menghantar perwakilan ke konvensyen berkenaan.  Konvensyen berkenaan telah diadakan pada 13 Mei 2008 bertempat di Hotel Tang Dynasti Park, Kota Kinabalu.

Sambutan Hari Belia Peringkat Kebangsaan. 

Pada 15 Mei 2008, Stadium Putra Bukit Jalil.  ABIM Sabah telah menghantar wakil ke sambutan berkenaan.

Seminar Memperkasa Gerakan Dakwah Di Sabah anjuran JAKIM Cawangan Sabah. 

YDP dan Pimpinan ABIM Sabah telah diundang menghadiri Seminar Memperkasa Gerakan Dakwah Di Sabah anjuran JAKIM Cawangan Sabah pada 20 Mei 2008 yang lalu bertempat di Hotel Promenade, Kota Kinabalu. Seminar ini diadakan bersempena dengan Majlis Pelancaran Sambutan 30 Tahun JAKIM Cawangan Sabah. Seminar dimulai dengan pembentangan kertas kerja Memugar Idealisme Da'ie oleh Yang Berbahagia Tuan Haji Ahmad Azam bin Abdul Rahman, Ahli Majlis Union of NGO In The Islamic World merangkap Naib Presiden WADAH. Tuan Haji Ahmad Azam bin Abdul Rahman seterusnya menjadi panel forum Mendepani Cabaran Gerakan Dakwah di Sabah bersama-sama Yang Berbahagia Dr. Haji Muhiddin bin Yusin, Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Sabah.

 

Pertemuan YB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi Bersama Jabatan/Agensi Agama dan Pertubuhan Islam Negeri Sabah. 

YDP ABIM Sabah  bersama  wakil NGO Islam di negeri Sabah telah menghadiri  pertemuan berkenaan pada 25 April 2008 di Dewan Sri Kinabalu Kompleks Haji Sabah. YB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid  telah mengutarakan gagasan Permuafakatan Agensi dan NGO Islam Sabah sebagai satu platform meningkatkan lagi dakwah di bumi Negeri di Bawah Bayu ini.

  
 
Pertemuan NGO Islam Negeri Sabah bersama Ketua Pengarah JAKIM Yang Berbahagia Dato' Haji Wan Mohamad bin Dato' Sheikh Abdul Aziz. 

Perjumpaan diadakan pada 20 Mei 2008 yang lalu sempena lawatan kerja Ketua Pengarah JAKIM sekali gus melancarkan Majlis Sambutan 30 tahun JAKIM Cawangan Sabah. Perjumpaan diadakan untuk membincangkan isu-isu dan penambahbaikkan usaha dakwah di Sabah serta jalinan kerjasama antara pihak JAKIM dan NGO-NGO Islam di Sabah. Perjumpaan ini juga merupakan di antara langkah untuk memperkasakan lagi gagasan Permuafakatan Agensi dan NGO Islam Sabah. Perjumpaan turut dihadiri oleh Ustaz Abd.Aziz bin Che Yacob, Pengarah JAKIM Cawangan Sabah, Tuan Haji Anuar Hakim bin Mohd Salleh, Pengetua Pusat Latihan Islam Kundasang dan Tuan Haji Roni bin Tahir, Pengetua Latihan Dakwah Kudat, JAKIM Cawangan Sabah. Manakala delegasi NGO Islam Sabah diketuai oleh Sdr. Muddin Beting, YDP ABIM Sabah.





Jemputan Mengisi Program luar

YDP ABIM Sabah, Sdr. Muddin Beting turut diundang untuk mengisi Program Maulidur Rasul  anjuran Persatuan Belia Islam Putatan dan Jabatan Belia dan Sukan (P) Negeri Sabah pada bulan Februari lalu dengan ceramah bertajuk "Hijrah: Apa Ertinya Kepada Generasi Muda" bertempat di Kompleks JBS (P) Sabah, Putatan.

YDP ABIM Sabah, Sdr. Muddin Beting diundang sebagai ahli panel Forum Perdana Ling Sama "Pakat-pakat mo berkat" atau "Pakat-pakat Membawa Berkat" pada 25 Mei 2008 bertempat di Dewan Datuk Musbah Kampung Taun Gusi, Kota Belud anjuran Semarak Masjid Zon 4 Kota Belud dengan kerjasama JAKIM Cawangan Sabah. Forum tersebut dikendalikan dalam bahasa Sama / Bajau dan dirasmikan oleh YB Datuk Musbah Hj Jamli, Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, merangkap ADUN Tempasuk

No comments: