Wednesday, June 17, 2009

Seminar "Risalah Untuk Kaum Muslimin"

Seminar “Risalah untuk Kaum Muslimin” ini adalah suatu usaha untuk memahami dan menimba khazanah pemikiran dan suluhan keilmuan yang tersurat dan tersirat dalam salah satu karya besar Yang Mulia Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas (SMNA), iaitu seorang Sarjana Islam berwibawa di Malaysia yang diiktiraf oleh dunia Islam dan dunia Barat.

Pengkaryaan kitab “Risalah untuk Kaum Muslimin” itu sebagaimana yang dikhabarkan oleh beberapa orang Sarjana tempatan, seperti Yang Mulia Profesor Dr. Wan Muhammad Noor Wan Daud dan Dr. Mohd Farid Mohd Sahran, yang kedua-duanya adalah anak didik Yang Mulia Prof malahan diperakukan sendiri oleh beliau telah mula dicatatkan manuskripnya sejak 35 tahun yang lampau sarat dengan penelitian sejarah, mengenal asal-usul permasalahan kaum muslimin, pengajaran dan ikhtibarnya, prinsip-prinsip dan konsep-konsep fundamental dalam agama Islam yang telah terabai, malahan turut menampilkan Mahraja(jalan keluar) terhadap sesuatu isu.

ABIM Sabah dengan rasa rendah diri, mencadangkan buat kali pertama di Malaysia dan di Sabah untuk mengangkat dan memberi perspektif tersendiri terhadap karya ini. Harapan untuk mengupas secara menyeluruh kandungan karya berkenaan mungkin dibatasi oleh waktu dan kesempatan tetapi ABIM Sabah berusaha agar karya “Risalah untuk Kaum Muslimin” ini menjadi bahagian terpenting oleh kelompok autoriti, peneraju dasar dan ahli akademik dalam membina polisi dan pandangan alam mendatang.

Karya ini juga yang amat relevan pada masa ini dimana ummat Islam berada di dalam kecelaruan pemikiran dan di depani dengan cabaran-cabaran dalaman dan luaran yang cuba untuk memesongkan aqidah ummat.

Seminar “Risalah untuk Kaum Muslimin” ini akan membahaskan topik-topik khusus dari bahagian-bahagian yang aulawiyat dalam karya berkenaan. Tokoh-tokoh sarjana yang memahami dengan baik karya berkenaan akan ditampilkan sebagai pembentang kertas kerja. Para-peserta seminar terdiri dari pimpinan politik, pembuat dasar, ketua-ketua jabatan, ahli akademik, pendidik serta pemimpin belia dan mahasiswa.
Tarikh Seminar : 16hb Julai 2009
Masa : 8.00 Pagi-5.00 Petang.
Tempat : akan ditentukan dalam masa terdekat.
Penyertaan adalah terhad. Tuan/puan yang berminat sila berhubung dengan Sdr. Mohd Zikri Zainuddin (0138830445) untuk mendaftarkan diri.

No comments: