Monday, May 10, 2010

Membedah Ahsana 'L-Qasas: Pengkisahan Qur'ani Tentang Yusuf A.S.




MEMBEDAH AHSANA ‘L-QASAS:

PENGKISAHAN QUR’ANI TENTANG YUSUF `A.S.


Oleh: Y.Bhg. Dato' Dr. Siddiq Fadzil, Presiden Kolej Dar al-Hikmah.


Di Sebalik Kata Ahsana ‘l-Qasas


Dari sekian banyak kisah-kisah yang termuat dalam al-Qur’an, surah Yusuf diistimewakan dengan sebutan ahsana ‘l-qasas atau kisah terindah (surah Yusuf:3). Penamaan tersebut tentu ada justifikasinya. Ia adalah kisah paling lengkap dari segi liputannya. Pemerian tentang tokohnya (Yusuf `a.s.) menggenapi seluruh babak-babak penting sepanjang usia dari masa kanak-kanaknya hingga masa puncaknya ketika menjadi `Azizu Misr. Setiap babak dipaparkan secara rinci - adegan-adegan dan dialog-dialognya. Kisah Yusuf `a.s. adalah kisah yang paling sarat dengan mesej iktibar dan hikmah, di samping padat dengan nilai dan prinsip keilmuan yang cukup pelbagai: tauhid, fiqh, sirah, ta`bir mimpi, politik, ekonomi, pengurusan dan lain-lain. Demikian pula dari segi aktornya yang juga cukup pelbagai, mewakili makhluk dari pelbagai jenis, sektor dan golongan: manusia (lelaki dan perempuan), nabi, jin, syaitan, malaikat, haiwan, raja, peniaga, ilmuwan dan orang awam. Kisah terindah dengan segala babak dan adegannya itu membawa pesan induk: maslahah kehidupan duniawi-ukhrawi, sabar menanggung derita dan sifat pemaaf ketika kuat.

Keindahan kisah Yusuf `a.s. dapat dinikmati dari segi gaya pengungkapan yang tepat dan padat, kata-kata yang singkat membawa makna yang luas, mendalam dan penuh hikmah. Juga dari segi olahan seni tentang pelbagai aspek kehidupan insani yang diungkapkan lewat paparan peristiwa-peristiwa nyata, tetapi sekaligus mengisyaratkan implikasi-implikasi kejiwaan-kerohanian: kasih ayah terhadap anak tersayang, kedengkian saudara-saudara kandung, derita batin orang tua yang kehilangan anak kesayangan, cinta, nafsu, fitnah, maruah, integriti moral dan lain-lain yang semuanya membawa pesan tentang kehidupan mulia dan bermaruah berasaskan nilai nilai taqwa dan kebenaran.


Kisah ini menampilkan Yusuf `a.s. dengan citra makhluk istimewa, lelaki paling kacak dengan daya pesona luar biasa sehingga wanita-wanita Mesir pengagumnya mengeksprasikannya lewat kata malakun karim (malaikat mulia). Tetapi mesej sebenarnya tidak sebatas keindahan fizikal lahiriah, tetapi lebih jauh daripada itu keindahan rohaniah yang disimbol dan dilambangkan dengan keindahan lahiriah itu.Selanjutnya.

No comments: