Friday, October 1, 2010

Hina Nabi Muhammad S.A.W: ABIM Gesa Tindakan Tegas Diambil

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang berat laporan polis yang dibuat oleh Presiden Penaja Perikatan Blogger Muslim (MBA), Zainol Abideen berkaitan dakwaan seorang paderi di Sarawak yang menghina Nabi Muhammad S.A.W . ABIM dan umat Islam di Malaysia berasa sangat kecewa dan dukacita terhadap sikap biadab dan sama sekali tidak bertanggungjawab paderi berkenaan yang dikenali sebagai Benjamin Stephen.

Tatkala Perdana Menteri Malaysia Y.A.B Najib Tun Abdul Razak berusaha mempromosikan keharmonian antara agama dan menyeru Barat meredakan Islamophobia, jelas wujud sekelompok pihak yang merobek keharmonian beragama di negara ini dengan menghina dan meremehkan agama Islam sebagai agama persekutuan di negara ini.

Setiap rakyat Malaysia yang bertanggungjawab semestinya mengetahui bahawa sebarang tindakan yang dianggap menghina dan meremehkan Nabi Muhammmad S.A.W merupakan suatu pelanggaran yang amat sensitif di kalangan umat Islam. Sesungguhnya ia merupakan satu kesalahan besar menurut agama Islam, samada yang melakukannya di kalangan mereka yang beragama Islam ataupun penganut agama Islam itu sendiri.

Islam menyeru penganutnya mengambil sikap yang tegas terhadap sebarang usaha untuk menghina dan meremehkan Nabi Muhammad yang dikasihi oleh seluruh umat Islam. Cukuplah dunia menyaksikan reaksi umat Islam seantero dunia tatkala Nabi mereka dicerca dan dihina dalam bentuk kartun tidak lama dahulu. Reaksi yang sama tampak jelas berlaku di Malaysia tatkala akhbar-akhbar di Malaysia turut sama menyiarkan kartun tersebut tidak lama kemudian.

ABIM berpendapat hanya mereka yang jahil dan berniat jahat sahaja terhadap hakikat ini dan terus-terusan mencetuskan provokosi yang merobek hati umat Islam. Walaupun ABIM yakin bahawa insiden penghinaan ini merupakan kenyataan individu yang tidak mencerminkan sikap keseluruhan masyarakat Kristian di Malaysia, ia bakal mencetuskan suasana tegang dan salah faham sekiranya tidak dibendung.

Justeru ABIM melihat bahawa tindakan tersebut sekiranya dibuktikan benar, sebagai sesuatu yang tidak harus dikompromikan kerana ia jelas-jelas mencabar usaha mewujudkan sikap saling hormat-menghormati dan mengukuhkan keharmonian antara agama yang sedang diusahakan oleh pemimpin-pemimpin agama di Malaysia.

ABIM dengan ini menuntut agar pihak Jabatan Agama Islam Sarawak, JAKIM, PDRM dan Kementerian Dalam Negeri serta pihak berwajib yang lain menyiasat secara terperinci insiden yang sangat mendukacitakan ini. Sekiranya terbukti ia memang berlaku, maka ABIM menuntut tindakan tegas dikenakan terhadap pihak yang terbabit. ABIM juga menggesa agar Benjamin Stephen tampil serta mengemukakan pemohonan secara rasmi dan terbuka terhadap seluruh umat Islam di negara ini

No comments: