Tuesday, August 2, 2011

Meniti Transisi Memperkasa Potensi Diri

Ucap Utama Yang Dipertua ABIM Negeri Sabah

Sempena Ijtimak Harakiy Pertama WADAH-ABIM Sabah

oleh: Dr. Abdullah Bade, YDP ABIM Negeri Sabah

Setinggi-tinggi kesyukuran kami rafakkan dan panjatkan ke hadrat Allah S.W.T atas nikmat perkenanNya memungkinkan kita semua bersidang untuk julung-julung kalinya dalam Ijtima’ Haraki Pertama ABIM dan Wadah Negeri Sabah dalam Seminar Dakwah: Islam Agama Risalah dan seterusnya mengadakan Muktamar selari bagi ABIM dan WADAH. Kepada semua hadirin, muktamirin dan muktamirat, sahabat dan kerabat, pendokong dan ahli kami ucapkan selamat datang. Dengan berlangsungnya Ijtima’ Haraki Pertama ini bererti hanya setahun lagi ABIM Sabah akan melangkah dan genap tiga dekad berada di persada dakwah. Sesungguhnya Ijtima’ Haraki ini merupakan satu batu tanda bahawa jamaah kita dalam konteks Negeri Sabah telah melangkah ke satu fasa penerusan misi dakwah yang mencabar dan kompleks dengan adaptasi dan integrasi generasi senior dan generasi baharu ABIM yang masih bertatih dalam medan dakwah. Alhamdulillah, adaptasi dan integrasi ini juga merupakan cerminan bahawa telah berlaku proses transisi dan permerkasaan jati diri jamaah.

Firma Allah S.W.T dalam Surah Al-Fussilat ayat 33:

“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal soleh dan berkata “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri”

Seruan Dakwah

Islam sebagai agama Risalah telah bergema sedari awal perutusan Ar-Rasul S.A.W. Bermula di daerah gersang Makkah untuk period pertama dengan misi pemantapan aqidah dan pembentukkan Sahsiah Islamiyah. Ini diikuti period kedua selama 10 tahun memfokus pembinaan dan penerapan Syariah Islam, Pembentukan Daulah Islamiah dan Pengembangan risalah Islam ke seluruh penjuru alam. Metodologi pemeringkatan dakwah ini membawa mesej dan landasan bahawa dakwah itu harus datang dan dilaksanakan secara bertahap mengikut awlawiyat di samping bacaan-bacaan tepat mengenai waqie’ serta sikon (situasasi dan kondisi) pada ketika itu.

Kejayaan generasi awal para sahabat yang lahir hasil tuntunan dan bimbingan terus Ar-Rasul S.A.W meneruskan misi dakwah bukanlah terletak pada tools (peralatan) canggih diwarnai dengan ketinggian ilmu komunikasi dan peradaban moden. Generasi awal bangun mengubah dan membawa berita gembira (bagi orang-orang beriman) dan memberi amaran (kepada mereka yang ingkar)-“basyirah-wanazirah”, dengan berbekalkan keimanan sejati, kepatuhan tidak berbelah bagi kepada perintah Allah diikuti dengan cita-cita mendalam mendapat keredhaan ALLAH S.W.T. Inilah intipati iman dan asas gerakan dakwah yang terjelma menyahut tuntutan dan keperluan Islam dari masa ke semasa tanpa merasa berat dan sukar. Justeru, ABIM Sabah sedari awal penubuhannya pada tahun 1982 telah melalui beberapa tahap dan pemeringkatannya tersendiri. Kesemua tahap dan peringkat tersebut akhirnya meletakkan gerakan ini bertapak kukuh dan dikenali di negeri Sabah sebagai antara badan dakwah penting dari jalur NGO yang banyak menyumbang dan menggerakkan misi dakwah selari dengan prinsipnya menegakkan keadilan dan kebenaran.

Kita menghimbau sejarah ABIM Sabah bermula dari period pemerkasaan asas-asas dakwah dan pengupayaan gerakan Islam kepada period pembinaan generasi melalui budaya Ilmu dan pendidikan aqal budi. Ini diikuti period partisipasi generasi muda dalam meneruskan kelangsungan tamadun. Kesemua period tersebut menggambarkan bahawa sifat gerakan dakwah ini dinamik dan sentuhan dakwah yang dipeloporinya juga dilatari dengan pendekatan bersifat dinamik bagi mengisi vakum kegelapan (zhulummat) dengan cahaya (nur). Selain itu, sifat dinamika ini juga sarat membawa peringatan khususnya ahli gerakan bahawa tidak ada istilah resign dalam medan dakwah. Justeru, apapun keadaan kita, di mana pun kita berada dan siapa pun maudu’ dakwah kita, misi pencerahan aqal budi (tanwirul-uqul), membentuk citra dan faham Islam yang sebenar serta membangun potensi diri ummat (tamkin al-shahsiah al-muhtamalah) adalah tanggungjawab yang tidak boleh ditawar-tawar. Rasa keperihatinan serius mentajrih kebobrokan akhlak ummat perlu sentiasa disemai dan disuburkan di kalangan ahli. Kebekuan minda zaman moden penangan melampau gula-gula kemewahan dan hiburan harus ditentang agar ummat tidak menjadi ummat “kulubuna fii-aakinnah” (hati kami dalam tutupan yang berlapis-lapis), Surah Al-fussilat-5. Adalah sungguh malang bagi ummat di bawah bayu ini sekiranya sifat dinamika dakwah yang dipalu dan dilontarkan ke dalam masyarakat tidak difahami seutuhnya lantaran kongkongan kebebalan dan sengaja memilih sikap “summum bukmun umyum fahum la yarji’un”.

Islam Tamadun Alternatif Masa Depan

Sesungguhnya Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi darinya. Islam merupakan agama perubahan yang tidak statik malahan mendapat jaminan Allah S.W.T sebagai agama Rahmatan Lil-a’lamin. Agama yang telah disempurnakan Allah S.W.T sehingga ke hari kiamat. Islam diturunkan ke muka bumi membawa misi pentamadunan ummat manusia. Islam hadir di dalam masyarakat manusia dengan membawa prinsip aqidah yang teguh didasari dengan konsep fundamental ulihiyyah dan rububiyyah ketuhanan mengangkat ummat manusia dari kegelapan kepada cahaya (min al-zulummat ila-nur).

Dalam pada itu, tamadun barat terus hanyut membawa faham pemisahan ummat manusia dari tuhannya. Roh ketamadunan mereka digagaskan dengan fahaman Materialisme Pragmatis dan Secularisme yang membawa pandangan bercelaru terhadap hakikat ketuhanan. Ahli Sains terkemuka barat, Prof. Stephan Hawking sebagai contoh dalam bukunya The Grand Design menyatakan “..now we have a candidate for the ultimate theory of everything, if indeed one exist called M-theory…We will describe how M-theory may offer answers to the question of creation. According to M-theory ours is not the only universe. Instead M-theory predicts that a great many universes were created out of nothing. Their creation does not require intervention of some supernatural being or god. Rather, these multiple universes arise naturally from physical law”. Pandangan ini sesungguhnya menolak kehadiran sang pencipta. Menurut mereka alam seluruhnya adalah terbangun dari physical law - suatu konsep dan faham yang diasaskan oleh ahli falsafah Réné Descartes (1596-1650). Beliau pada ketika itu mengemudi fahaman Law of nature - kesemua fenomena fizikal mesti diterangkan berdasarkan prinsip perlanggaran antara jirim bergerak yang dipandu oleh Prinsip Fizik Newtons. Berdasarkan faham sebeginilah akhirnya barat tanpa segan silu mengangkat Sains sebagai asas kepada segala ilmu yang hakikatnya bertentangan dengan prinsip keilmuan Islam. Islam memandang Sains memerlukan landasan bukan ia menjadi landasan kepada realiti. Sains yang sebenar menurut Seyyed Hossein Nasr adalah didasari intelek (nous atau intellectus) yang terletak di al-qalb terpadu dengan bimbingan ketuhanan; sama sekali tidak terletak di dataran ratio semata. Sedang barat pula terus menerus memuja bahawa intelek dan kebendaan merupakan alat tertinggi pencapaian pengetahuan dan peradaban.

Demikianlah barat melihat alam seluruhnya jauh dari sang pencipta. Keburukan dan kesan buruk tamadun barat pasti menjadi wabak Escherichia coli (e-coli) kepada ummat seluruhnya. Benarlah telahan Prof. Dr. Yusof Al-Qardhawi bahawa lima kerosakan besar telah menimpa ummat barat dan akan berjangkit kepada ummat Islam seluruhnya sekiranya turut sama mengamalkan dan menjadikan faham Materialisme Pragmatis dan Secularisme sebagai aqidah dan I’tiqad. Kerosakan besar itu antara lainnya adalah keruntuhan akhlak, kemusnahan keluarga, kegelisahan jiwa, kecelaruan aqal, dan peningkatan jenayah dan ketakutan. Justeru, perkara awlawiyat bagi ahli gerakan adalah keperluan segera untuk turun dan mendidik masyarakat dengan memurnikan aqidah ummat, membina potensi diri ummat dan penilaian semula strategi pemerkasaan konsep khayra ummah tanpa mengharapkan sebarang bentuk ganjaran dan upah. Dengan faktor barat masih sibuk mencari identiti beragama kesan dari kegelisahan jiwa dan aqal, maka ini merupakan ruang dan kesempatan terbaik bersegera dan komited melaksanakan misi pendidikan dan pencerahan terhadap masyarakat sekeliling. Dengan harapan bahawa ummat akan kembali sedar dan faham bahawa Islam adalah agama pencetus ketamadunan unggul di masa depan.

Sungguh tidak dinafikan bahawa agama Islam merupakan model tamadun alternatif masa depan sedikit sebanyak telah merangsang gerakan rakyat merubah lanskap beberapa Negara timur tengah menumbangkan regim jahat dan korup. Keberanian merubah dan mengubah atas desakan hidup dan penindasan semata sesungguhya tidak cukup kuat sekiranya faktor keimanan dan keyakinan di dada tidak kukuh dan utuh. Keberanian pemuda dan pemudi timur tengah mempertaruhkan nyawa dan menjadi pencetus mobilasi rakyat demi sebuah perubahan di Tunisia dan Tahrir Square seperti seperti Mohamed Bouazizi (26 tahun), Houcine Falhi (22 tahun), Mohamed Ammari (18 tahun), Khaled Said (28 tahun), Asma'a Mahfouz (26 tahun) dan Wael Ghonim (31 tahun) sepatutnya dijadikan iktibar dan pembakar semangat oleh generasi transisi ABIM. Oleh yang demikian, persiapkan dirimu dan gembleng seluruh potensi dirimu wahai anak muda bangun merubah dan mengubah melalui pendekatan sederhana dan bijaksana memimpin perubahan mengangkat Islam sebagai tamadun alternatif masa depan yang mungkin sahaja sukar dan tidak berlaku pada zaman ayah dan ibu kita.

1 Malaysia dan Cabaran Masyarakat Majmuk

Sebagaimana yang dicatatkan dalam Booklet 1 Malaysia, gagasan yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Malaysia ini merupakan pelengkap kepada usaha dan gagasan terdahulu mencapai Negara maju. Antara lain perkara yang ditekankan dalam gagasan itu adalah sikap penerimaan di kalangan rakyat berbilang kaum yang mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar dapat hidup bersama dalam keadaan saling menghormati dalam satu Negara. Sebaik ia dilancarkan, pelbagai pandangan dan komentar berlegar di minda rakyat seluruhnya. Ada yang mampu memahami dan menterjemahkan dengan baik melalui pelbagai slogan baharu dimulai dengan perkataan 1 (satu) dan tidak kurang juga yang melihat gagasan ini sebagai rekayasa politik dan gula-gula pilihanraya yang tidak menguntungkan ummat seluruhnya.

Apapun pandangannya, ahli gerakan harus bersikap objektif dan rasional tanpa perlu menyatakan sikap terburu-buru menilai gagasan itu. Cabaran lebih besar untuk ummat bukanlah terletak kepada pemakaian gagasan ini dalam kehidupan seharian. Malahan perkara lebih mendasar dan pokok adalah menterjemahkan makna maqasid syariah dalam konteks masyarakat majmuk agar citra keadilan sosial (al-'adalat al-ijtima'iyyah) yang dibina atas landasan keadilan dan kebenaran Islam dapat hidup subur di jiwa ummat. Ini kerana kehidupan masyarakat berbilang kaum yang sejahtera hanya dapat dicapai sekiranya keadilan sosial berasaskan norma agama yang unggul dan membawa rahmat mengakar dan merimbun dalam segenap aktiviti mereka. Citra keadilan sosial Islam yang tulen tidak pernah tunduk kepada harta, wanita dan tahta bahkan kepada tuntutan nafsu diri sendiri sekalipun. Di sinilah peranan kita ahli gerakan membawa dan menterjemahkan mesej Rahmatan Lil a’lamin dan keadilan Islam di tengah masyarakat berbilang kaum agar proses pentamadunan ummat berlaku sekali lagi. Benarlah ungkapan Dato Dr. Siddiq Fadhil dalam bukunya Perspektif Qur’ani (Siri Wacana Tematik) bahawa “…manusia hanya mampu melaksanakan misi pemtamadunannya jika seluruh potensi kemanusiannya berkembang secara utuh dan seimbang. Hanya manusia yang merdeka dan perkasa mampu mencipta dan mengkaryakan sesuatu yang besar dan bermakna. Mereka yang berjiwa hamba dan lemah tidak akan mampu menjadi bangsa yang berprestasi dan menyumbangkan sesuatu yang bererti kepada dunia..”

Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13)

Paluan gendang perang PRU 13 sudah bermula. Pastinya PRU kali ini bernada sengit dan ganas kerana dua blok utama saling berlawanan telah memasang tekad dan azam menduduki bumi Putrajaya melalui pilihanraya bersih serta adil dan mempertahankan Putrajaya walau dengan apa cara sekalipun. Perang saraf dan peperangan persepsi hampir setiap masa memenuhi dada-dada akhbar dan televisyen. Pentas ceramah dan unjuk rasa juga tidak ketinggalan hebat menjadi medan memenangi persepsi rakyat seluruhnya. Kesannya golongan Al-Mustad’afin khususnya rakyat terbanyak dihidang dengan segala macam bentuk persepsi dan pujuk rayu politik yang mengelirukan dan tidak kurang juga ada yang melihatnya sebagai peluang dan ruang memiliki sungai wang dan pangkat.

Tidak dinafikan bahawa kelibat dan bahang peperangan ini juga turut dirasai oleh ummat di bawah bayu melalui rantaian keyakinan bahawa bumi ini merupakan kubu tidak terkalah dan tema muluk pencapaian diutamakan rakyat didahulukan. Sebagai pelengkap, ummat di bawah bayu juga mendapat pencerahan lain bahawa kelansungan hidup generasi mendatang yang adil tanpa korupsi dicanang melalui tema “ubah sekarang”. Perubahan pucuk pimpinan parti Islam terbesar di Malaysia baru-baru ini kepada kumpulan pimpinan yang dinamik dan telah teruji di jalanan dan di sebalik gerigi besi menghangatkan lagi pertembungan dua blok utama ini.

Mengambil kira situasi siasah yang berlaku, sebaiknya kita menghimbau perjalanan Sirah Ar-Rasul S.A.W dengan menilai semula peristiwa Sulh Hudaibiyah. Suatu bentuk perjanjian kelihatannya berat sebelah, merugikan ummat Islam dan kurang dipersetujui oleh para sahabat seperti Saidina Umar Al-Khattab. Namun, dhamir suci hasil dari bimbingan wahyu ilahi mempersetujui perjanjian tersebut kerana mengambil perkiraan tidak bersifat short-termist semata malah menjangkau di luar perkiraan aqal manusia. Sunggupun ia merupakan pendekatan tidak popular, akhirnya terbukti dengan perjanjian yang diperkirakan merendah ummat Islam pada masa itu telah menyebabkan jalan-jalan penyebaran Syiar Islam berkembang subur di Makkah, pengangkatan Madinah sebagai sebuah Negara Islam dan Pengiktirafan Ar-Rasul S.A.W sebagai pemerintah negara Islam Madinah.

Atas dasar itulah, dalam melibatkan diri berkaitan hal-hal siasah setempat mahupun nasional, ahli gerakan perlu sentiasa berpegang teguh kepada konsep penting gerakan iaitu non-partisan dan independent political force. Suatu bentuk gerakan dakwah yang terlibat secara langsung dalam proses siasah tanpa perlu menjadi parti politik sebagaimana peringatan oleh Presiden ABIM yang kelima dalam ucapan dasar beliau yang pertama. Sungguhpun kadangkala pendekatan yang kita cadangkan tidak popular, namun pertimbangan wasatiyyah (sederhana) untuk kebaikan dan kepentingan ummat Islam terbanyak perlu sentiasa didahulukan. Siapa tahu pendekatan yang bersifat wasatiyyah dan mungkin sahaja tidak popular mampu mengangkat Sabah dan mendapat pengiktirafan sebagai negeri di bawah wahyu. Justeru, sekuat manapun gendang perang pilihanraya telah dibunyikan, namun pertimbangan teliti dan memberi kebaikan kepada ummat harus diutamakan. Untuk itu juga tema-tema besar sedia ada yang berlegar di kalangan ummat di negeri bawah bayu sewajarnya kita perbahurui dengan menyuburkan tema yang lebih ummatiq seperti “the benefit to ummat always comes first”, “membina dan memimpin tamadun khayra ummah” dan “Islam tamadun masa depan- al-hadharah al -Islamiah fi-mustaqbal” .

Cabaran Setempat

Allah S.W.T akan menguji hambaNya dengan mendatangkan secara silih berganti kesempitan dan kesempatan sebagai medan pengujian. Di suatu ketika kehidupan dirasakan begitu damai dan di suatu ketika lain kehidupan terasa sempit. Kehidupan ummat seluruhnya juga melalui fasa silih berganti adakalanya di atas dan dikala yang lain di bawah. Akuilah hakikat bahawa hambatan dan serangan bertali arus Kristianisasi yang merimas dan melemaskan merupakan antara siri ujian al-Khaliq untuk menilai sejauhmana ummat melaksanakan peranan dwi-fungsi mereka sebagai hamba dan khalifahtul-Ard.

Melihat senario setempat, belum reda isu kalimah Allah, ummat tiba-tiba dikejutkan dengan serangan penyebaran Injil dalam bahasa Melayu di tengah masyarakat. Serangan secara tiba-tiba ini nyata mendebarkan dada kita ahli gerakan bahawa apa pula selepas ini. Sesungguhnya kita mungkin lupa watak dan sikap Yahudi dan Nasrani sebagai bangsa yang tidak senang dan redha kehadiran Islam sebagai agama Rahmatan Lil a’lamin. Maka, tidak hairanlah sekiranya itulah juga watak dan sikap yang diwarisi oleh mereka yang memusuhi Islam yang berada hampir dengan kita.

“Dan orang-orang yahudi dan nasrani tidak akan rela kepadamu (Muhammad) sebelum engkau mengikuti agama mereka. Katakanlah, “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah (petunjuk yang sebenarnya)”. Surah Al-Baqarah ayat 120.

Dalam hal ini ABIM dan WADAH telah menyatakan sikap dan pernyataan ketidakselesaan kita terhadap tindak tanduk dan pandangan sempit yang tidak mahu mengakui dan menghormati sensitiviti ummat Islam. Kenyataan dan pernyataan sikap yang kita keluarkan langsung tidak diendahkan malahan mereka terus mengasak dengan kenyataan “tidak menjadi masalah sekiranya Perdana Menteri Malaysia itu seorang beragama Kristian lantaran tiada peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menuntut hanya Perdana Menteri beragama Islam yang boleh menerajui kerajaan”. Apa sebenarnya hajat dan tujuan mereka dan kenapa pula ummat terlalu bersikap apologetik? Justeru, ahli gerakan dituntut untuk bangun mempertahankan melalui barisan tersusun dan berhikmah menyampaikan mesej bahawa kita tidak sanggup melihat agama dan ummat seluruhnya dipenjurukan dan diperlekeh. Pemurnian dan pemerkasaan aqidah ummat dan perancangan strategik secara komprehensif dan bersepadu perlu diusahakan segera oleh seluruh ahli gerakan dan badan-badan dakwah Islam lain agar maruah agama dan ummat terus terpelihara. Ahli gerakan juga dituntut untuk mula berfikir menubuh dan bergiat aktif dalam kumpulan dan institut pemikiran dan strategik Islam di kepulauan Borneo. Diharapkan kumpulan anak muda ini menjadi think-tank berwibawa menyalurkan idea, perancangan dan penyelesaian strategik dan tactical tentang kemaslahatan ummat di kepulauan ini.

Ummat untuk sekian kalinya turut diuji lagi dengan isu fitnah dan qazaf dari rupa sumpah laknat, penyebaran dan pendedahan pornografi secara terbuka tanpa sekatan dan halangan di media cetak dan elektronik. Sukar untuk kita membayangkan bagaimana anak-anak kecil yang begitu mentah sudah begitu terdedah dan membicarakan perkara-perkara pornografi. Di mana letaknya qaromah insaniah yang menjadi tonggak maqasid syariah? Ke mana hilangnya rasa malu ummat membincangkan perkara ini secara terbuka? Sungguhpun tiada kajian khusus mengenai kesan langsung perkara ini meracuni pemikiran ummat di negeri bawah bayu berbanding cabaran Kristianisasi dan proses pengstrukturan semula masyarakat bandar kesan dari pasaran hartanah yang terlalu tinggi, namun barah-barah kecil ini harus diubat segera sebelum menjadi epidemic yang membawa kehancuran dan kemusnahan. Ahli gerakan harus terus menerus tanpa rasa jemu dan letih menerangkan kepada ummat bahaya fitnah, qazaf dan pornografi di samping mentajrih ummat agar tidak lalai dan terpedaya dengan tipu helah Yahudi dan Nasrani.

Meniti Transisi

Meniti fasa transisi kepemudaan ABIM Sabah bukanlah merupakan suatu perkara mudah. Di awal pelaksanaannya ia kelihatan cukup licin dan sistematik. Beberapa janji indah berupa kebebasan bersikap, kebebasan berkreativiti dan kebebasan merencana ditaruh agar qiyadah baru ini berupaya meneruskan dan meniti laluan-laluan dakwah yang ditinggalkan oleh para Senior ABIM Sabah dengan penuh rasa keyakinan.

Rata-ratanya pemuda ABIM Sabah berusia akhir 20-an. Terikat dengan cabaran hidup di alam kuliah dan ramai yang baru membina kerjaya dan kehidupan berkeluarga yang dicitrakan dan diwarnai oleh tuntutan mendapatkan kehidupan sempurna sebagaimana abang-abang Senior. Justeru, amanah kepimpinan ini pastinya berat untuk ditanggung sehingga ada yang mula memberi syarat dan seribu macam alasan untuk tidak hadir, bergiat aktif, mengambil sikap beruzlah (mengasingkan diri), memendam rasa, mempunyai kepentingan peribadi dan acuh tak acuh dalam setiap program ABIM negeri. Sebagai ahli gerakan kita perlu sentiasa bermuhasabah dan ingat akan firman Allah dalam surah At-Taubah ayat 41:

“Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan maupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui”

Atau mungkin sahaja kita lupa bahawa namanya dakwah itu merupakan suatu kewajipan Al-dharuriyat yang tidak boleh ditinggal, walau apapun keadaannya di mana pun kita berada selaras dengan peringatan Allah dalam Surah Al-Imran ayat 104 dan 110 - kamu merupakan khayra ummah yang menyeru ke arah kebaikan dan mencegah perkara mungkar. Apa yang kami lihat di sini, cabaran utama ABIM Sabah adalah keperluan mendasar dan mendesak membina kapasiti dan seluruh potensi diri setiap ahli, pengukuhan tarbiyyah jundiyah dan rohani, pembinaan generasi muda berijiwa daie, memugar semula idealisme kepemudaan yang mula melemah, memperkemas pengurusan dan kewangan gerakan di samping kebijakan memanfaatkan keluwesan teknologi ICT.

Cabaran hanya tinggal sebagai senarai cabaran sahaja yang ditulis dikertas dasar ini sekiranya tidak ada kesedaran dan iltizam tinggi setiap ahli untuk berubah. InsyaAllah, beberapa program akan diatur selari dengan Landskap dan Prastas yang telah digubal. Namun, sekali kami menuntut kesediaan mutlak ahli tanpa ada sikap berat dan tawar untuk terlibat demi mendepani segala cabaran dan hambatan yang dimaksudkan. Ini selari dengan firman Allah dalam surah Ar-Raad ayat 11:

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri”

Ekonomi Gerakan

Kita membaca dan mendengar hasil karangan dan pengucapan Dato’ Dr. Siddiq Fadzil, Murrabi Ummat bertajuk Membedah Ahsana ‘L-Qasas: Pengkisahan Qur’ani Tentang Yusuf ‘A.S. Kupasan itu cukup memberi makna besar bahawa ABIM Sabah perlu segera melihat semula sistem perekonomiannya demi kelangsungan gerakan.

Tidak dinafikan, kekurangan suntikan modal dan simpanan yang tidak berapa besar menggusarkan kita, adakah ABIM Sabah mampu sustain untuk beberapa ketika. Dengan bantuan pakar-pakar ekonomi yang faham benar sistem perekonomian Yusuf A.S mencadangkan agar kita mengeluarkan sedikit simpanan untuk dilaburkan di samping mempelbagaikan produk-produk yang boleh menjana lebihan ekonomi bagi menampung perbelanjaan harian dan pengurusan yang mula meningkat kesan dari kemelesetan ekonomi global. Alhamdulillah, langkah ini kelihatannya positif walaupun hasil tuaian dari pelaburan itu perlahan.

Untuk itu, seruan kami utarakan kepada ahli, sahabat dan kerabat untuk tidak putus-putus menyumbang walau apapun bentuknya agar kelangsungan aktiviti dan program dapat dipertahan selain menunggu pakej dan rangsangan ekonomi bersifat tahunan yang ibarat buah ranum dan masak tetapi belum jatuh dari dahannya. Menurut Presiden ABIM kelima, seorang aktivis ABIM tulen, selain menyumbang masa dan tenaga untuk jamaah hendaklah mereka tidak lupa terus menyumbang beberapa peratus daripada pendapatan mereka untuk aktiviti dakwah yang kita laksanakan dari masa ke semasa.

Memimpin Belia Islam

Kepada semua warga Belia Islam (ABIM) yang dikasihi baik di negeri, daerah, pusat pengajian tinggi, sekolah, seluruh guru TASKI ABIM, sahabat dan kerabat, jauh dan dekat, proses transisi sudah pun bermula. Button larian marathon dakwah telah berada di tangan kita. Marilah kita sama-sama memperbaharui tekad, meningkatkan pengupayaan seluruh potensi diri, melebur halangan dan hambatan peribadi dan meningkatkan kekuatan aqal budi memimpin perjuangan suci ini terus subur di zaman kita. Kita akui bahawa jalan menuju kemenangan hakiki dan mardhotillah ini dipenuhi ranjau dan duri, kesedihan dan kegembiraan silih berganti, semuanya itu merupakan rencam perjuangan. Sesukar mana pun perlu kita tempuh dan lalui. Ingatlah, kehadiran kita dipersada dakwah adalah pilihan dan ketentuan Allah S.W.T dan Dialah yang Maha Mengetahui siapa yang terbaik untuk memimpin dan mendokong risalah suciNya. Malahan kita harus bersyukur kerana telah dipilih Allah S.W.T memikul amanah dakwah ini.

Kita mungkin merasakan bahawa kita kurang dipelbagai cabang ilmu baik ilmu agama, dakwah, pemikiran, siasah, kepimpinan, ekonomi dan pengurusan, namun itu bukanlah alasan untuk kita beruzlah, memendam rasa dan bersikap acuh tak acuh menyampaikan risalah Allah S.W.T. Pokok pangkalnya adalah kesedian kita untuk masuk ke universiti tarbiyyah ABIM yang tidak pernah jemu-jemu mendidik dan mengajar kita.

“Wahai orang yang beriman! Mahukah aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, serta berjuang membela agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir dibawanya beberapa sungai, serta tempat tinggal yang baik dalam syurga Adn. Itulah kemenangan yang besar

(As-Saff ayat 10-12)

Selamat Bermuktamar.

Bibliografi

1. Siddiq Fadzil. 2003. Perspektif Qur’ani Siri Wacana Tematik. Kuala Lumpur. Biro Dakwah dan Tarbiyah ABIM Pusat.

2. Siddiq Fadzil & Muhammad Nur Manuty. 2003. Koleksi Ucapan Dasar Muktamar Sanawi ABIM Keprihatinan Ummat dan Transformasi Sosial. Kuala Lumpur. Angkatan Belia Islam Malaysia.

3. Mohammad Natsir. 2008. Fiqhud Da’wah, Jejak Risalah dan Dasar-dasar Da’wah. Jakarta. Yayasan Capital Selecta Jakarta & Media Da’wah.

4. Ahmad Azam A. Rahman. 2008. Memimpin Belia Islam Menangani Globalisasi & Hegemoni. Kuala Lumpur. Blue-T Publication Sdn. Bhd.

5. Al-Qardhawi, Y. 1995. Tamadun Islam Alternatif Masa Depan. Terj. Juanda Jaya (1999). Selangor. Maktabah al-Qardhawi.

6. Baharudin Ahmad (pnys.). 2008. Falsafah Sains dari Perspektif Islam. Ed. 2. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

7. Hawking, S. & Mlodinow, L. 2010. The Grand Design. New York. Bantam Books.

8. A. Ghafar Ismail & Fadhilah Mat Nor. 2010. Menilai Model Ekonomi Baru Dalam Konteks Maqasid Shariah. Seminar Maqasid Syariah Sempena Ijtimak Harakiy Pertama WADAH-ABIM-PKPIM. Bangi.

1 Malaysia Booklet. Rakyat Di Dahulukan Pencapaian Diutamakan. 2009. Pejabat Perdana Menteri.

No comments: