Sunday, August 7, 2011

Ramadhan Asas Membina Jati Diri Pendakwah

كل عام وانتم بالخير, رمضان كريم

Ucapan yang menggambarkan kegembiraan menyambut kedatangan Ramadhan. Bulan Ramadhan adalah bulan Allah, bulan yang dijanjikan keampunan kepada sesiapa yang berpuasa, bulan perkongsian rasa dan bulan mentarbiyah jiwa menggamit makam taqwa sebagai mana difirmankan Allah yang bermaksud:

"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa,"

Sifat taqwa adalah satu sifat yang ditakrifkan sebagai rasa bertuhan. Rasa bertuhan bermaksud sebagai satu perasaan diperhatikan, setiap amalan dilakukan dengan penuh ketelitian dan berhati-hati. Sebarang kesalahan walaupun kecil boleh mencacatkan pahala puasa. Pahala adalah ganjaran yang didambakan semua, namun jika dilihat dari sudut lain pahala adalah kesan atau akibat dari kita berpuasa. Jadi jika pahala puasa kita mengalami kecacatan maka akan cacatlah juga kesan yang bakal diperolehi daripada puasa.

Justeru itu puasa yang berupaya membina muttaqin adalah puasa yang melepasi batasan fizikal iaitu menahan lapar dan dahaga, puasa yang didalamnya penuh dengan kewaspadaan terhadap sehalus mana pun dosa yang boleh mencacatkan pahala berpuasa.

Bulan Ramadhan juga adalah bulan berkongsi rasa. Rasa kelaparan adalah rasa yang universal sifatnya. Ini kerana rasa kenyang tidak dapat dirasai semua manusia. Hanya manusia yang dianugerahkan Allah dengan makanan yang mencukupi akan berasa kenyang. Rasa lapar juga adalah rasa yang perlu diharungi oleh para kekasih Allah. Rasulullah s.a.w tidak pernah berasa kenyang 2 hari berturut-turut. Lapar adalah rasa yang dikongsi oleh para pejuang agama Allah yang sejati.

Dengan rasa lapar itulah para pejuang memburu syahid di medan tempur. Begitu juga digelanggang dakwah, seharusnya kelaparan bukanlah alasan untuk mengelak diri dari melangkah membina ummah. Lapar dan dahaga adalah kebiasaan bagi mereka yang serius berkarya di jalan Allah. Jika rasa dikongsi dengan hakiki, tak mungkin kita membesar diri. Mensyukuri nikmat yang dilimpahi dengan teliti dengan mencurahkan segalanya di jalan Ilahi.

Bulan Ramadhan adalah bulan peduli ummah. Segala keprihatinan perlu kita zahirkan. Selain rasa, zakat fitrah juga wajib dilaksana. Zakat fitrah mengubat kedukaan si miskin. Nasib mereka diperhatikan agar tidak tersisih ketika hari lebaran menjelma. Maka dengan penuh rasa cakna kita telah melancarkan sekali lagi buat kali keenam Kempen Seorang Sekampit Beras (KSSB). KSSB adalah terjemahan perkongsian rasa. Ia menjadi cukup bermakna kepada mereka yang amat memerlukan.

Walaupun kita mendapat kesukaran khususnya apabila berlaku kekeliruan dalam senarai fakir miskin ia bukanlah halangan. Kemiskinan ditakrifkan berbeza mengikut selera. Ada selera yang berasaskan parti, ada yang berasaskan jumlah pendapatan dan ada juga yang berasaskan kelompok keluarga. Semuanya perlu diteliti tanpa prasangka.

Itulah karenah dalam berdakwah. Jika habuan menanti, semua sanggup mengaku diri dalam kelompok yang perlu didanai. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada seluruh mujahid dan mujahidah dakwah yang tidak mengenal erti lelah. Biarlah banyak karenah tapi jasa tetap dicurah.

Bermula dengan sekampit beras yang diagih, ia perlu diperkasa kepada turutan jasa. Jasa bukan di bulan Ramadhan semata tetapi harus diperluas. Penerimaan terhadap sekampit beras boleh dilihat sebagai titik mula penerimaan dakwah kita. Dari beras umat dibina, umat dibina jasmani, rohani dan minda.

Buat semua pencinta dakwah, marilah kita bermuhasabah, mengkoreksi diri bagi mengukuh perjuangan ini. Demi Kebenaran Dan Keadilan.

Amidi Abd Manan,Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

No comments: