Wednesday, September 14, 2011

Dalami Agama Elak Kekeliruan: Presiden ABIM



Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyarankan agar ahli politik di negara ini yang ingin menyampaikan ceramah, tazkirah dan sebagainya di masjid serta surau perlu mendalami ilmu agama Islam sebaik mungkin. Presiden ABIM, Amidi Abd Manan berkata, mereka seharusnya mempunyai kefahaman yang jelas, bukan berdasarkan kepada apa yang disokong kerana mereka tidak boleh mendakwa sesuatu perkara yang disokong itu mengikut kehendaki hati tanpa memikirkan pendengarnya.

Menurutnya, sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, ABIM sangat mengalu-alukan kecenderungan ahli politik kepada agama Islam kerana itu sememangnya asas utama namun mereka mestilah bertauliah. “Kepada ahli politik yang bercakap di masjid-masjid, kita harap mereka tidak membawa politik ke dalam masjid dalam keadaan yang tidak bersesuaian dan boleh mengganggu sehingga menyebabkan rasa tidak senang dalam kalangan jemaah yang hadir.

“Mereka perlu mendalami ilmu agama sebaik mungkin. Seperti saya sendiri, saya dalam bidang sains..bila dipanggil memberikan kuliah magrib, saya akan bercakap mengenai bidang saya dan saya tidak mendakwa semua perkara saya tahu,” katanya. Beliau berkata demikian ketika mengulas isu ahli politik dan individu yang memberi ceramah di masjid dan surau tanpa tauliah yang digembar-gemburkan kebelakangan ini.

Amidi bagaimanapun berkata, sekiranya terdapat kesilapan dalam ceramah yang disampaikan, tegur-menegur amat perlu kerana ia merupakan intipati dalam ajaran agama Islam sendiri. “Kalau ada kesilapan penyampai dan orang yang mendengar lebih mengetahuinya, perlulah menegur dan orang yang ditegur tidak seharusnya melenting. Teguran itu mestilah disampaikan dengan baik, tidak menjatuhkan air muka dan mengaibkan penyampai itu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap tauliah diberikan secara adil kepada mereka yang berhak dan tiada istilah kecenderungan atau ‘bias’ kepada individu tertentu sahaja.
Beliau berkata, penggunaan tauliah juga diharapkan tidak menyekatkan pengembangan Islam malah mengingatkan pihak berkuasa agama agar menjadikan ia senjata untuk menyekat individu tertentu yang layak menyampaikan ceramah.

“Kerjasama kedua-dua pihak amat penting untuk menyelesaikan masalah ini. Tetapi pada saya, untuk tujuan tertentu, sebagai contoh forum yang berkaitan kemiskinan umat Islam contohnya saya kira, perkara seperti itu sepatutnya ada fleksibiliti. “Sebab ianya bukan hanya dalam bidang agama tetapi menyentuh semua pihak dan dari segi politik ini perlu ditangani dengan baik,” katanya. (Dipetik daripada Sinar Harian)

No comments: