Wednesday, May 27, 2009

Resolusi Memperingati Perjuangan dalam mempertahankan akidah ummat di Teluk Marudu


23 Mei 2009

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sabah, Kementerian Belia dan Sukan Negeri Sabah, Jabatan Belia dan Sukan (P) Sabah dan Pejabat Daerah Kota Marudu, Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Persatuan Belia Kampung Garuda Baru Kota Marudu telah menganjurkan Seminar Memperingati Tokoh : Perjuangan dalam mempertahankan akidah ummat di Teluk Marudu.

Seminar Memperingati Tokoh dianjurkan atas kesedaran bahawa meletakkan seseorang pada kedudukannya yang tepat dan wajar adalah tuntutan keadilan dan tanggungjawab insan beradab. Iqbal pernah berkata bahawa ‘bangsa yang berjiwa besar ialah bangsa yang tahu menghargai pemimpin dan perjuangannya.’ Menurut Syair Arab pula, bangsa yang tahu menilai sejarah punya usia berlipat kali ganda. Dalam menilai sumbangan seseorang tokoh, yang perlu dikenang dan diiktiraf ialah jasa dan sumbangannya yang bermakna, yang luhur lagi agung yang telah mencorakkan perjalanan sejarah, bukan pada cacat cela peribadi atau kelemahan tokoh.

Seminar Memperingati Tokoh ini akan cuba mengambil pelajaran dan ikhtibar melalui penggalian sejarah Kerajaan Marudu (1980an) iaitu meliputi pantai barat utara Sabah. Menurut catatan sejarah kerajaan ini merupakan satu-satunya kerajaan berautonomi di Sabah pada ketika itu. Iaitu, tidak bernaung di bawah Kesultanan Brunei mahupun Kesultanan Sulu. Kebijaksanaan Kerajaan ini wajar ditelusuri khususnya dalam mempertahankan akidah ummat Islam dan kepentingan masyarakat umum ketika berhadapan dengan penjajah Barat. Antara tokoh yang amat dikenali ialah Sharif Osman.

Di atas sandaran-sandaran berkenaan, seminar tersebut berkeyakinan bahawa sumbangan yang bermakna, yang luhur lagi agung yang telah mencorakkan perjalanan sejarah berkenaan perlu dirakamkan secara utuh, adil dan membawa makna dalam pembinaan masyarakat setempat khususnya di Kota Marudu serta kawasan sekitarnya dan negeri Sabah secara keseluruhannya.
Menyedari hakikat ini maka kami yang berkumpul di SMK Tandek, Kota Marudu untuk Seminar Memperingati Tokoh pada 23 Mei 2009 yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat dari seluruh daerah Kota Marudu mewakili pelbagai agensi dan pertubuhan seramai lebih kurang 200 peserta dengan ini bersetuju dengan resolusi berikut:

Pertama : Menggesa pihak kerajaan meneliti kembali sejarah yang melatari perkembangan masyarakat di setiap tempat agar setiap dasar yang dibuat dan pembangunan yang dilakukan akan mengambilkira sensitiviti masyarakat setempat.
Kedua : Menggesa Kerajaan Negeri Sabah peka kepada usaha-usaha pihak tertentu yang tidak menghormati sejarah setempat dan perjuangan masyarakat setempat lalu cuba untuk mengubah serta menafikan sejarah lampau dengan membina monumen atau sebarang mercu tanda yang tidak ada asas sejarah dan tidak peka kepada sensitiviti agama dan kebudayaan kaum.

Ketiga : Menggesa Kerajaan Negeri Sabah agar menumpukan perhatian yang khusus kepada Bahagian Pantai Barat Utara yang merupakan salah satu tapak penting perjuangan ummat Islam dalam menentang Penjajah. Pada masa yang sama telah melahirkan ramai tokoh-tokoh pejuang ummat.

Keempat : Menggesa Kerajaan Negeri Sabah agar mempertahankan hak-hak bumiputera yang telah banyak menyumbang kepada perjuangan dan proses kemerdekaan negeri ini dengan menaikkan taraf pendidikan dan ekonomi khususnya di daerah Kudat, Kota Marudu, Kota Belud dan Pitas.

Kelima : Menggesa Kerajaan Negeri Sabah mewartakan lebih banyak lagi tapak warisan sejarah di negeri ini termasuk Kubu Kerajaan Marudu untuk memberikan pendidikan dan kesedaran kepada orang awam dan para pelancong. Termasuk juga mengambil inisiatif untuk menggalakkan ahli akademik melakukan kajian secara sistematik.

Keenam : Menggesa pihak kerajaan bekerjasama dengan institusi-institusi yang berkaitan untuk membetulkan persepsi catatan sejarah yang berasaskan pandangan alam pihak penjajah kepada versi yang berasaskan pandangan alam Islam.

Ketujuh : Meminta kerajaan menubuhkan Muzium mini di sekitar Kudat agar pendokumentasian sejarah tokoh-tokoh dan sumbangan mereka serta artifak dapat dilakukan dengan baik. Muzium mini ini penting untuk melahirkan masyarakat yang celik sejarah serta menghargai tokoh yang terdahulu.

Kelapan : Menyeru seluruh masyarakat Islam supaya mengambil peluang, ruang dan kesempatan dengan terlibat secara bersungguh-sungguh untuk menyuburkan pandangan alam Islam yang benar seperti yang ditunjukkan oleh tokoh terdahulu.

Kesembilan : Menyeru seluruh masyarakat Islam supaya memberi perhatian penting kepada institusi keluarga masing-masing dengan menjadikan tokoh-tokoh pejuang ini sebagai “role model” . Ibubapa perlu bijaksana mengambil pengajaran di samping menanamkan aqidah yang benar agar generasi baru dapat mewarisi semangat dan idealisme tokoh-tokoh berkenaan.

Kesepuluh : Menggesa semua pihak yang terlibat dalam sektor pendidikan di semua peringkat pengajian agar berusaha untuk merubah paradigma dan menyuburkan pandangan alam Islam dalam menyampai dan mengolah pendidikan sejarah. Contohnya pengkajian tokoh setempat dalam subjek sejarah di Sekolah Menengah.




Di Keluar oleh:




En. Abdul Manap Mahmud
Yang Dipertua ABIM Sabah

No comments: