Tuesday, September 1, 2009

Program Menyantuni Anak Yatim Rumah Putera Harapan (RPH) WADAH-ABIM-SISMA











Dalam satu hadith, Rasulullah S.A.W pernah bersabda:

"Sesiapa yang menyayangi anak yatim, di syurga nanti dekatnya dengan Nabi Muhammad S.A.W ibarat dua jari iaitu jari telunjuk dan jari tengah, tiada jarak"

Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, WADAH, ABIM dan SISMA telah menyantuni anak yatim di Rumah Putera Harapan (RPH) pada hari Isnin sempena cuti Hari Kemerdekaan Malaysia ke-52. Seramai 12 orang penghuni RPH diraikan dalam satu majlis dimana mereka dibawa untuk membeli baju melayu sebagai persediaan meraikan aidilfitri dan diberikan barang keperluan untuk berbuka puasa. Majlis ini juga diisi dengan sedikit tazkirah daripada Tuan Haji Sainuri Haji Yahmin, Pengerusi WADAH untuk seluruh hadirin yang hadir termasuklah untuk anak-anak yatim RPH dimana beliau telah bercerita tentang kisah hidup Imam Al-Ghazali dimana Al-Ghazali telah kehilangan ayah semasa kecil iaitu semasa beliau berumur 8 tahun dan Ibu Al-Ghazali memintanya untuk menuntut ilmu dengan seorang guru. Tuan Haji Sainuri juga telah mengaitkan kesungguhan Al-Ghazali dalam mencari ilmu untuk dijadikan iktibar kepada anak-anak yatim RPH.

Majlis dimulakan dengan taklimat yang disampaikan oleh Tuan Haji Sainuri dan diikuti pembahagian kumpulan untuk membawa anak-anak tersebut membeli baju melayu mereka di Hjirah Trading, Ranau. Hampir 40 minit mencari dan membeli baju melayu dan kelengkapan lain, anak-anak tersebut diraikan di RPH dengan tazkirah dan penyampaian duit raya kepada penghuni RPH. Turut disampaikan adalah sumbangan untuk keperluan makanan penghuni RPH kepada Pengurus RPH, Saudara Sabri yang juga merupakan Setiausaha ABIM Daerah Ranau.

Kepada orang ramai yang ingin memberikan sumbangan kepada Rumah Putra Harapan, bolehlah menghubungi pihak sekretariat ABIM Sabah di talian 088-212080 atau boleh berhubung terus dengan pengurus RPH, Saudara Sabri di talian 0198993315. Semoga dengan sumbangan anda dapat membantu anak-anak yatim di RPH dan semoga Allah memberkati segala amal kebajikan yang kita laksanakan.

No comments: