Tuesday, May 25, 2010

Bantahan Pertaruhan Piala Dunia 2010: Kerajaan Pusat Perlu Peka Dengan Pandangan Rakyat - Presiden ABIM

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ingin mengulangi desakan agar pemberian lesen pertaruhan Piala Dunia 2010 oleh kerajaan pusat kepada Kumpulan Berjaya ditarik balik. Sehubungan demgan itu, ABIM menyokong kenyataan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang baru-baru ini menggesa kerajaan menilai semula pemberian lesen tersebut. ABIM berpandangan bahawa sudah tiba masanya kerajaan memberikan penjelasan secara terbuka sebagai reaksi kepada keprihatinan, desakan dan bantahan yang disuarakan oleh banyak pihak sejak termasuklah NGO, pertubuhan bolasepak, dan aktivis masyarakat sejak beberapa minggu lalu.

Siri-siri bantahan serta kenyataan-kenyataan keprihatinan tersebut, memberikan mesej yang jelas kepada pimpinan negara bahawa masyarakat Malaysia memandang berat implikasi dan kesan negatif pertaruhan judi ini kepada masyarakat Malaysia. Dalam konteks ini juga, ABIM telah menghantar memorandum keprihatinan kepada para mufti di seluruh negara sejak seminggu yang lalu sebagai usaha menggesa kerajaan untuk menarik balik pemberian lesen tersebut. ABIM juga menyeru pihak berkuasa agama selain mengambil tindakan terhadap penglibatan umat Islam dalam aktiviti perjudian tersebut.
Dari pemerhatian pihak ABIM sendiri, aktiviti-aktiviti pertaruhan serta perjudian haram sudah mula berleluasa menjelang kejohanan yang bakal menjelang nanti. ABIM yakin tindakan legalization – iaitu mengiktiraf secara sah di sisi undang-undang sesuatu aktiviti haram (seperti kes pertaruhan judi) yang tidak mampu dikawal melalui penguatkuasaan undang-undang dan permintaan berterusan di pasaran gelap tidak akan menyelesaikan masalah. Bahkan sebaliknya, ia memberikan pengiktirafan kepada sesuatu yang illegal hanya kerana kegagalan kita mengawalnya.

Justeru ABIM menggesa pihak Kementerian Dalam Negeri, polis, pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Agama Islam untuk mempergiatkan usaha pemantauan, penguatkuasaan dan membanteras sebarang bentuk aktiviti perjudian haram sempena Piala Dunia ini. ABIM ingin menyeru umat Islam di seluruh negara agar menjauhi sebarang bentuk aktiviti perjudian serta pertaruhan memandangkan ia hanya akan meruntuhkan sahsiah individu, serta keutuhan institusi keluarga, masyarakat, dan secara khususnya, sistem ekonomi secara khususnya.

Sebarang aktiviti perjudian serta pertaruhan adalah haram di sisi Islam. Ia jelas mendatangkan kemudharatan kepada institusi kekeluarga, masyarakat dan rakyat terbanyak. Berdasarkan kepada prinsip ini, ABIM dengan itu membantah sekeras-kerasnya usaha untuk membudayakan unsur-unsur perjudian di kalangan setiap lapisan masyarakat di negara ini, sepertimana yang pernah ditegaskan sebelum ini.

No comments: