Tuesday, June 1, 2010

Serangan Ke Atas Flotila Kebebasan: ABIM Kecam Tindakan Rejim Israel


Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Israel menyerang konvoi kapal bantuan kemanusiaan yang menyertai misi ’Flotila Kebebasan ’ke Semenanjung Gaza hari ini.Tindakan kekerasan ala ketenteraan oleh rejim itu terhadap aktivis konvoi antarabangsa itu secara jelas mencabul prinsip keamanan dan kemanusiaan sejagat. Ternyata Israel berniat jahat kerana misi konvoi tersebut merupakan misi aman, tidak bersifat ketenteraan, dan bertujuaan semata-mata untuk menghantar bantuan ke bumi Gaza. Ia telahpun mendapat dokongan masyarakat antarabangsa yang telah turut menyertai konvoi tersebut.

Dengan siri serangan yang tidak berperikemanusiaan ini, Israel telah sekali lagi menunjukkan keangkuhannya menghalang bantuan disalurkan ke bumi Palestin dan terang-terangnya mencabar masyarakat antarabangsa untuk bertindak ke atasnya. Ia juga merupakan penerusan kepada pelbagai bentuk penindasan dan tekanan yang dilakukan oleh Israek terhadap rakyat Palestin selama ini.

ABIM dengan ini menggesa agar Wisma Putra mengambil sikap yang tegas dan menyatakan pendirian tersebut kepada Israel dan menyeru masyarakat antarabangsa untuk bertindak segera. Sesungguhnya Malaysia dan rakyatnya mempunyai sebab yang sangat kukuh untuk mendesak Israel dan sekutunya menghentikan segera tindakan ketenteraannya memandangkan konvoi itu turut disertai oleh rakyat Malaysia yang terdiri daripada aktivis NGO, ahli Parlimen dan wartawan. Tambahan pula, bantuan yang ingin disalurkan melalui konvoi tersebut merupakan hasil kutipan dan sumbangan ikhlas rakyat Malaysia bagi membantu rakyat Gaza yang amat memerlukan.

ABIM menyeru agar seluruh rakyat Malaysia menterjemahkan keprihatinan dan kecaman keras mereka terhadap pencabulan oleh rejim Israel ini dengan menyokong sebarang usaha oleh pihak kerajaan dan pihak NGO-NGO untuk menyampaikan mesej yang jelas kepada Israel dan sekutunya. Justeru ABIM menyeru agar rakyat Malaysia turut menyertai siri-siri bantahan aman yang dilakukan oleh pihak-pihak tersebut sebagai tanda sokongan padu rakyat Malaysia terhadap usaha-usaha keamanan dan mengecam keganasan. Akhir sekali, ABIM ingin memohon agar rakyat Malaysia berdoa dan mengadakan solat hajat di seluruh negara demi keselamatan rakyat Malaysia yang terlibat dalam konvoi tersebut.


Mohamad Raimi Ab Rahim

Setiausaha Agung, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

No comments: