Friday, July 16, 2010

Seminar Karya Agung Ulama & Ilmuwan Islam Alam Melayu


Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sabah akan menganjurkan Seminar Karya Agung Ulama & Ilmuwan Islam Alam Melayu sempena Muktamar Sanawi ABIM Negeri Sabah Ke-28. Seminar ini adalah anjuran bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sabah. Seminar ini akan diadakan pada 24 Julai 2010 bersamaan 12 Syaaban 1431H (Sabtu) bertempat di Dewan Resital UMS pada jam 8.00 pagi - 5.00 petang. Antara panel yang dijemput untuk membentang kertas kerja ialah Y. Bhg. Dr. Khalif Muammar A. Harris, Fellow Penyelidik, Institut Alam Dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Wan Sabri Wan Yusuf, Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Sdr. Muddin Beting dan Prof. Madya Dr. Hjh Arsiah Baharom.

Seminar ini bakal mengupas karya-karya agung alam melayu yang menjadi bahan rujukan penting untuk generasi kini untuk mengambil ikhtibar dan ilmu daripada karya agung tersebut. Nama seperti Hamzah Fansuri, Ranriri, Prof. HAMKA dan Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas antara tokoh-tokoh ulama dan ilmuwan yang menghasilkan karya agung. Antara karya agung yang menjadi rujukan utama generasi masa kini adalah Tafsir Al-Azhar karya Prof. HAMKA, Risalah Untuk Kaum Muslimin serta Islam dan Sekularisme oleh Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas.

Seminar ini terbuka kepada umum. Penyertaan adalah PERCUMA dan jamuan turut disediakan. Marilah kita bersama-sama memartabatkan karya agung yang menjadi sumber rujukan buat generasi kini.

Monday, July 12, 2010

Seminar Memperingati Tokoh III: Sultan Muhamamd Al-Fatih







Pada 10 Julai 2010 bersamaan 27 Rejab 1431H, ABIM Daerah Putatan telah melaksanakan Seminar Memperingati Tokoh III: Sultan Muhammad Al-Fatih yang diadakan di Dewan Sri Kinabalu, SMK Putatan. Seramai 100 orang peserta yang terdiri daripada pelajar Sekolah Menengah di sekitar Putatan telah hadir bagi menimba ilmu dan mengenali dengan lebih dekat lagi tokoh yang telah membuka Kota Konstantinople yang kini dikenali sebagai Turki iaitu Sultan Muhammad Al-Fatih. Antara pengisian dalam seminar tersebut adalah "Konsep Generasi Al-Fatih" oleh Sdr. Selabi Muhamed, Exco Tugas-Tugas Khas ABIM SAbah, "Ketokohan Sultan Muhammad Al-Fatih" oleh Sdr. Abdul Ramlie Ibrahim, Exco Tugas-Tugas Khas ABIM Sabah dan diserikan lagi dengan Forum Peranan Generasi Muda Dalam Kebangkitan Generasi Al-Fatih yang diisi oleh dua orang anak muda Putatan, Sdr. Mohd Zikri Zainudin, Setiausaha ABIM Sabah dan Sdr. Putera Aliff Al-Ain Jasni, Setiauasaha Kewangan ABIM Daerah Putatan. Seminar ini ditutup oleh Sdr. Mohd Salim Japaran, Pegawai Ekonomi, Yayasan Sabah Zon Pantai Barat Selatan. Semoga dengan penganjuran seminar ini dapat memberi ruang kepada generasi muda untuk mengenali lebih mendalam tentang tokoh-tokoh Islam terutama Sultan Muhammad Al-Fatih yang wajar dijadikan contoh tauladan buat generasi muda kerana umur Sultan Muhammad Al-Fatih ketika menakluk Kota Konstantinople hanya berusia 23 tahun.

Sunday, July 4, 2010

Setiausaha ABIM Sabah Mengisi Kem Kepimpinan Pengawas, Program Baktisiswa Friends of Sciencess At Labuan 2010 (FOSAL 2010)





Pada 25-26 Jun 2010, Setiausaha ABIM Sabah, Sdr. Mohd Zikri Hj. Zainudin, telah diundang sebagai penceramah untuk Kem Kepimpinan Pengawas, Program Baktisiswa Friends of Sciencess At Labuan 2010 (FOSAL 2010) anjuran Persatuan Pelajar Sains, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan. Seramai 59 orang Pengawas telah mengikuti Kem Kepimpinan Pengawas yang terdiri dari seluruh Sekolah Menengah di Wilayah Persekutuan Labuan. Sdr. Zikri telah memberikan ceramah tentang "Konsep & Teori Kepimpinan" dan "Ciri-Ciri Pemimpin Yang Berwibawa". Sdr. Zikri juga telah mengisi slot Kuliah Subuh bertajuk "Kepimpinan Sultan Muhammad Al-Fatih" dan mengendalikan sesi Analisis SWOT dan Plan of Action (POA).

Saturday, July 3, 2010

ABIM SABAH AKAN MENGANJURKAN SEMINAR KARYA AGUNG ULAMA & ILMUWAN ALAM MELAYU



2 Julai 2010 - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sabah telah membuat kunjungan hormat ke atas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Brig. Gen. Prof. Datuk Seri Panglima Dr. Kamaruzzaman Hj. Ampon. Kunjungan hormat berkenaan adalah untuk membincangkan penganjuran bersama Seminar Karya Agung Ulama & Ilmuwan Alam Melayu yang akan diadakan pada 24 Julai 2010 bersamaan 12 Syaaban 1431H (Sabtu) bertempat di Dewan Resital, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Antara objektif penganjuran seminar ini adalah; untuk mengangkat dan memberi pengikhtirafan terhadap karya-karya agung ulama dan ilmuwan Alam Melayu, meneliti catatan-catatan utama karya-karya agung ulama dan ilmuwan Alam Melayu, menelusuri suasana, persekitaran dan cabaran lingkungan yang menyumbang kepada penerbitan karya agung ulama dan ilmuwan Alam Melayu menarik partisipasi generasi muda untuk menggali khazanah karya agung ulama / ilmuan Alam Melayu dan memperkaya pandangan alam generasi muda dalam memperkasa tamadun Islam Alam Melayu.

Antara agensi kerajaan lain yang turut bersama-sama menjayakan seminar ini adalah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS), Jabatan Belia dan Sukan (P) Negeri Sabah, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Majlis Belia Sabah (MBS).

Thursday, July 1, 2010

Umat Islam Membantah Cadangan Casino di Sabah

Umat Islam membantah cadangan Casino di Sabah


Cadangan seorang MP sebuah parti politik Sabah dalam surat khabar tempatan kelmarin yang mengesa agara meluluskan lesen casino di Sabah agar merancakkan aktiviti pelancongan itu amat tidak masuk akal, dangkal, simplistik dan tidak ada rasional langsung.


Pada hemat kami, seorang pemimpin dan pentadbir negeri dan negara perlu berhati-hati dalam member cadangan agar tidak menguris hati masyarakat Islam. Pada masa yang sama sepatutnya seorang pemimpin itu membantu membangunkan elemen-elemen positif yang baik dalam masyarakat dan bukan menyemarakkan nilai-nilai kerosakkan perjudiaan yang telah diterima umum.


Pada hemat kami, apabila beliau mencadangkan daerah Kundasang, sekaligus telah menyinggung hati dan citra masyarakat setempat. Kerana ia amat bertentangan dengan norma dan budaya masyarakat setempat yang masing-masing mengamalkan budaya hidup yang baik, dengan semangat Islam yang kental dan budaya kerja yang berasaskan pertanian yang tinggi.


ABIM berpendapat, Aktiviti judi adalah salah satu kesalahan besar dalam pandangan syariah Islam, Kerana perjudian adalah natijah dari budaya hidup rendah, simplistik, dan mengambil kesempatan dari kesusahan orang lain.


Sudah sampai masanya kerajaan mengurangkan operasi lesen Jackpot, mesin jackpot dan lain-lain aktiviti perjudiaan di negeri ini kerana ia tidak mendatangkan kebaikkan dalam pembinaan generasi muda yang bertamadun tinggi dengan peradaban dan kemajuan yang mampan.


Pelancongan perlu diasaskan oleh keindahan, budaya, ketamadunan, peradaban dan ketinggian moral pada masa yang sama mendidik pelancong tentang nilai-nilai baik kehidupan dan keharmonian budaya bukan aspek-aspek kebejatan moral yang didokong oleh budaya judi.


Sekian


Abdul Manap Mahmud

YDP ABIM