Tuesday, March 22, 2011

ISU PENGEDARAN INJIL DALAM BAHASA MELAYU: WADAH-ABIM BIMBANG KEKELIRUAN DAN KECELARUAN AGAMA DALAM KALANGAN MASYARAKAT MAJMUK

ISU PENGEDARAN INJIL DALAM BAHASA MELAYU: WADAH-ABIM BIMBANG KEKELIRUAN DAN KECELARUAN AGAMA DALAM KALANGAN MASYARAKAT MAJMUK

1. Wadah Pencerdasan Umat (WADAH) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sabah memandang serius isu pengedaran kitab Injil dalam Bahasa Melayu. WADAH dan ABIM Sabah menyokong sepenuhnya kenyataan ABIM Pusat yang menuntut agar YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak memberikan pendirian segera berhubung kebenaran untuk pihak-pihak yang meminta agar kitab Injil dalam Bahasa Melayu boleh diedarkan.

2. WADAH dan ABIM Sabah turut khuatir dan bimbang tentang kitab Injil yang sedia tersebar di Sabah dan telah menggunakan kalimah ‘Allah’. Perkara ini akan mengundang kekeliruan dan sudah tentu bertentangan dengan keputusan Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) yang membenarkan permohonan Kementerian Dalam Negeri untuk menangguhkan penggunaan kalimah ‘Allah’.

3. WADAH dan ABIM Sabah juga menyatakan dan memohon agar semua pihak tidak menggunakan kalimah Allah dengan sewenang-wenangnya kerana belum ada ketetapan jelas dan keputusan mahkamah berhubung penggunaan kalimah itu.

4. WADAH dan ABIM Sabah juga menggesa dan menyatakan sikap tidak membenarkan tambahan kitab Injil yang ingin dibawa masuk dan diedarkan ke Sabah dan Sarawak selagi perkataan dan kalimah ‘Allah’ ada dicetak dan tertera dalam kitab Injil tersebut.

5. WADAH dan ABIM Sabah turut menggesa kerajaan di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak mengambilkira sensitiviti umat Islam di Sabah yang merupakan komponen terbesar dalam masyarakat majmuk sebelum menyatakan sebarang pendirian yang menyentuh sensitiviti umat Islam di negeri Sabah.

6. Melatari konsep 1Malaysia yang digagaskan oleh YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak, adalah merupakan satu gagasan jauh yang didasari hasrat memupuk dan memperkasa perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia yang majmuk. WADAH dan ABIM Sabah melihat bahawa konsep 1Malaysia harus dilihat dari perspektif yang adil dan bukan dari sudut kesamarataan sempit yang mengundang pandangan meletakkan sesuatu tidak sesuai pada tempatnya. Oleh yang demikian, menjadikan konsep 1Malaysia sebagai landasan untuk meraih sesuatu yang tidak kena pada tempat dan konteksnya adalah sesuatu yang kurang wajar. Tindakan sebegini sudah pasti bertembung dan tidak menghormati semangat Perlembagaan Malaysia yang mana Islam adalah agama rasmi di negara ini.

7. Dalam pada itu, semua pihak adalah juga diminta untuk menghormati Perkara 11 dalam Perlembagaan Malaysia yang menyatakan bahawa Islam merupakan Agama Rasmi dan dan pada masa yang sama memberi jaminan kepada setiap rakyat untuk menganut dan mengamalkan ajaran agama mereka.

8. WADAH dan ABIM Sabah berharap agar kerajaan bersikap tegas dan berhikmah dalam menangani perkara ini demi menjamin kelangsungan keharmonian dan kesejahteraan yang kita nikmati selama ini. Sekian.

No comments: