Wednesday, July 13, 2011

Islam Sebagai Agama Risalah Dalam Konteks Alam Melayu

Ucap Utama ini telah ditulis dan disampaikan oleh Yang Mulia Prof. Emeritus Dato' Dr. Osman Bakar, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam Malaysia (IAIS) dalam Seminar Dakwah: Islam Agama Risalah anjuran bersama Jabatan Ketua Menteri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sabah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Sabah Economic Development Corporation (SEDCO), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Zon Sabah, Pertubuhan Seluruh Sabah (USIA), Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) Negeri Sabah dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sabah, pada 2 Julai 2011 bersamaan 30 Rejab 1432H bertempat di Dewan Besar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah.


Mukadimah

Jelas sekali bahawa agama Islam adalah agama risalah. Bagi mereka yang memahami isi kandungan Kitab Suci al-Qur’an, kebenaran tentang agama Islam ini jelas kelihatan. Namun demikian, pada zaman sekarang, banyak orang yang mengakui dirinya orang Islam tidak membaca al-Qur’an, maka jauh sekali daripada dapat memahami isi kandungannya. Mereka ini tidak membacanya sama ada kerana mereka tidak tahu berbuat demikian atau pun kerana mereka malas. Biar apa pun sebabnya, mereka ini merupakan sebilangan besar daripada masyarakat Islam yang sama ada jahil sama sekali atau samar-samar terhadap kedudukan dan peranan Islam sebagai agama risalah.

Oleh itu menjadi kewajiban orang Islam yang tahu tentang ajaran al-Qur’an mengenai sifat agama Islam sebagai agama risalah untuk menjelaskannya kepada saudara seIslam yang tidak mengetahuinya. Selain itu, adalah juga tanggungjawab mereka yang tahu untuk menerangkan kebenaran yang sama kepada orang bukan Islam atas nama berkongsi kebaikan dan atas nama memperjuangkan kepentingan bersama yang melampaui perbezaan kumpulan etnik, perbezaan bangsa dan perbezaan agama.

Makna risalah dan agama risalah

Apakah yang dimaksudkan dengan agama Islam sebagai agama risalah? Sebelum kita menjawab soalan ini dengan berpandukan ajaran-ajaran al-Qur’an , perlu diterangkan terlebih dahulu makna perkataan risalah dan makna istilah agama risalah. Perkataan risalah dalam bahasa Melayu berasal daripada perkataan yang sama dalam bahasa Arab. Istilah risalah dalam bahasa Arab membawa beberapa pengertian. Di antara makna-maknanya yang ada banyak kena mengena dengan ciri agama Islam yang sedang dibincangkan di sini termasuklah perutusan atau mesej, dakwah atau seruan, tabligh atau misi, perhubungan atau komunikasi, dan edaran. Makna-makna risalah yang disebutkan ini menepati ciri-ciri tertentu agama Islam yang melayakkannya dipanggil agama risalah.

Risalah Islam sebagai perutusan dan mesej Ilahi kepada umat manusia

Makna teras risalah ialah perutusan atau mesej. Ajaran agama Islam yang terkandung dalam al-Qur’an adalah himpunan perutusan atau mesej daripada Allah kepada manusia. Setiap ayat al-Qur’an merupakan perutusan, pesanan atau mesej Ilahi kepada seluruh umat manusia. Perutusan Ilahi dalam al-Qur’an telah disampaikan kepada manusia pilihan Allah sendiri, iaity Nabi Muhammad s.a.w., melalui Jibra’il a.s. yang merupakan salah satu daripada empat malaikat besar. Bagi setiap perutusan, mesti ada pengutusnya dan juga utusan atau pengantaranya. Bagi perutusan dalam al-Qur’an, pengutusnya ialah Allah s.w.t. manakala utusannya ada dua, iaitu Jibra’il a.s. yang merupakan utusan dalam bentuk malaikat dan Nabi Muhammad s.a.w. yang merupakan utusan dalam bentuk manusia. Dalam bahasa al-Qur’an, kedua-dua mereka ini dipanggil rasul.

Jibra’il a.s. ialah rasul dan utusan khas Allah untuk menyampaikan wahyuNya bukan sahaja kepada Nabi Muhammad s.a.w. tetapi juga kepada manusia-manusia terpilih sebelumnya yang telah dipilih oleh Allah untuk menjadi RasulNya. Walau pun Nabi Muhammad s.a.w. bukanlah satu-satunya rasulullah, namun Baginda mempunyai kedudukan istimewa sebagai Nabi dan Rasul terakhir kepada bani Adam atau umat manusia seperti yang ditegaskan dalam al-Qur’an sendiri.

Nabi Muhammad itu bukanlah menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang lelaki daripada kamu tetapi dia adalah Rasulullah dan penutup segala nabi (khatam al-nabiyyin). (Ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui segala sesuatu.[1]

Dengan kata lain juga, al-Qur’an adalah kitab suci terakhir daripada Allah kepada manusia dan agama Islam adalah agama terakhir daripada Allah kepada manusia. Kedudukan Nabi Muhammad sebagai Nabi Allah dan Rasululullah terakhir, kedudukan al-Qur’an sebagai kitab suci Allah terakhir, dan kedudukan agama Islam sebagai agama wahyu Ilahi atau agama samawi yang terakhir, semuanya meninggalkan kesan yang mendalam ke atas kewajiban dan tanggungjawab orang Islam terhadap penyebaran risalah Islam dan penghayatan peranan agama Islam sebagai agama risalah. Oleh kerana perutusan al-Qur’an adalah perutusan terakhir IIahi kepada manusia maka menjadi kewajiban orang Islam untuk menerangkan perutusan ini kepada seluruh umat manusia.

Sudah tentu akan muncul nabi-nabi atau rasul-rasul palsu dari semasa ke semasa; juga akan muncul agama-agama baru yang palsu, yakni agama bikinan manusia sendiri dan bukannya agama yang diwahyukan oleh Allah s.w.t.; dan juga akan muncul dakwaan-dakwaan palsu oleh individu atau kumpulan tertentu bahawa kononnya mereka mempunyai kitab suci yang diwahyukan oleh Allah. Sebenarnya, dakwaan-dakwaan palsu seperti ini banyak terdapat sesudah wafatnya Nabi Muhammad bukan sahaja di kalangan bukan Islam tetapi juga di kalangan umat Islam. Timbul cabaran untuk membezakan antara kepalsuan dan kebenaran. Tetapi bagaimanakah orang-orang Islam boleh membezakannya kalau mereka tidak mengetahui kebenaran yang terkandung dalam risalah agama Islam seperti yang terdapat dalam al-Qur’an.

Nabi Muhammad s.a.w. pula ialah rasul dan utusan khas Allah s.w.t. untuk menyampaikan wahyu-Nya yang diterima daripada Jibra’il a.s. kepada umat manusia seluruhnya. Baginda telah menyempurnakan amanah dan tugasnya untuk menyebarkan seluruh perutusan dan mesej al-Qur’an kepada manusia sehingga tertegak agama Islam dalam sanubari setiap sahabatnya dan juga tertegak dalam kehidupan umatnya dan masyarakatnya. Baginda berjaya dengan misinya sebagai rasul dan utusan Allah bukan sahaja kepada bangsa Arab tetapi kepada umat manusia. Hal ini telah ditegaskan oleh al-Qur’an:

Dialah Yang telah mengutus Rasul-Nya dengan membawa hidayah dan agama kebenaran (din al-haqq) supaya Dia memenangkannya atas segala agama yang lain walau pun orang musyrik membencinya.[2]

Setelah Baginda wafat untuk kembali ke alam baqa di sisi Allah s.w.t. tugas dan tanggungjawab penyebaran perutusan al-Qur’an telah diteruskan oleh para sahabat yang masih hidup, oleh pengikut-pengikut mereka dan oleh pengikut-pengikut Islam di setiap zaman yang berikutnya hinggalah ke zaman kita sekarang. Mudah-mudahan obor perutusan Ilahi dalam al-Qur’an akan terus menyinari hati-hati manusia di segenap pelusuk alam hingga ke akhir zaman. Kalau tidak ada lagi di muka bumi ini satu pun jiwa manusia yang menyebut nama Allah, maka menurut sebuah hadith Rasulullah s.a.w., tidak ada lagi kewajaran untuk dunia terus wujud.

Buat zaman kita sekarang, dengan berleluasanya penyebaran kepalsuan, kebatilan dan kezaliman, semuanya bertentangan dengan Islam, dan semakin mencabar lagi dengan berleluasanya fenomena mencampur-adukkan kebenaran dengan kepalsuan, maka semakin mendesak tuntutan supaya kita orang Islam beriltizam dan berkeupayaan untuk menjadi penyambung lidah nabi dalam menyampaikan perutusan al-Quran kepada umat manusia zaman ini. Kita berkewajiban untuk menyebarkan risalah al-Quran kepada ahli keluarga kita, kaum kerabat dan saudara mara kita, rakan-rakan dan para kenalan kita dan kepada orang lain pada amnya. Inilah giliran keutamaan sasaran penyebaran risalah Islam yang disarankan oleh al-Quran dan Rasullallah s.a.w. Dan sememangnya giliran keutamaan inilah yang telah dipatuhi oleh Nabi Muhammad s.a.w. dalam sunnah dakwahnya.

Sekiranya kita berjaya menjalankan kewajiban ini dengan berkesan menurut kemampuan kita masing-masing, nescaya kedudukan umat Islam semakin kukuh dan kegemilangan agama Islam semakin terserlah. Tetapi syarat kejayaan ini ialah berlakunya perubahan hakiki pada diri kita sendiri. Perubahan diri yang dimaksudkan ialah perubahan kejiwaan dan keruhanian yang memperlihatkan peningkatan iman, ilmu dan amal, peningkatan akhlak dan peningkatan perjuangan kita untuk memperkasakan umat Islam. Perubahan dalaman seperti inilah yang dimaksudkan oleh al-Quran sebagai perubahan yang kalau diusahakan secara beramai-ramai oleh ahli-ahli sesuatu kaum akan melayakkan kaum itu mendapat pertolongan Allah dalam mengubah nasibnya ke martabat yang lebih baik dan yang lebih dihormati. Al-Quran menegaskan:

Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali akan mengubah keadaan sesuatu kaum itu sehinggalah mereka mengubah dahulu keadaan diri mereka sendiri.[3]

Ayat ini perlu direnungkan dengan mendalam kerana sangat besar erti perutusan dan mesej yang terkandung di dalamnya kepada cita-cita umat Melayu-Islam untuk memperkasakan dirinya, untuk memelihara maruah dirinya sebagai umat yang dihormati lagi disegani dan untuk meninggikan martabat dirinya sebagai umat yang maju dan berjaya dalam persaingan hidup di arena antarabangsa. Orang Melayu-Islam harus sedar bahawa bangsa mereka dan umat mereka tidak akan mencapai kemajuan seperti yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. selagi mereka tidak mengikuti cara hidup yang diridhai-Nya. Ini adalah kerana kita tidak akan berjaya di dunia dan di akhirat menurut kriteria kejayaan yang telah ditetapkan di dalam al-Qur’an sekiranya kita tidak mendapat pertolongan Allah s.w.t. Tetapi kita tidak akan mendapat pertolongan Allah sekiranya cara hidup kita, kepercayaan dan amal perbuatan kita tidak direstui dan diredhai-Nya.

Kejayaan dan kemenangan yang telah dijanjikan oleh Allah kepada orang Islam adalah kejayaan dan kemenangan yang bersyarat. Oleh itu adalah wajar kita penuhi dan kita tunaikan syarat-syarat wajib yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Syarat-syarat wajib ini merupakan sebahagian daripada hukum-hukum alam keruhanian atau sunatullah yang menurut al-Quran tetap kekal tanpa berubah-ubah. Al-Qur’an menegaskan:

Sunnatullah berkuatkuasa di kalangan mereka yang hidup dahulu sebelum kamu. Tidak sekali-kali kamu dapati perubahan pada sunnatullah.[4]

Risalah atau perutusan al-Quran adalah untuk sesiapa sahaja. Kejayaan dan kemenangan di dunia atau di akhirat atau di kedua-duanya sekali adalah terbuka kepada semua manusia. Syarat-syarat dan kunci kejayaan dan kemenangan telah di maklumkan kepada semua manusia menerusi al-Quran. Terpulanglah kepada diri masing-masing untuk merebut peluang untuk memperoleh kejayaan dan kemenangan yang telah dijanjikan oleh Allah s.w.t. Sebagai golongan manusia yang beriman dengan al-Quran, sepatutnya orang Melayu-Islam tidak berlengah-lengah lagi merebut peluang keemasan ini untuk mencipta sejarah bangsa dan sejarah umat yang gilang-gemilang.

Ada satu lagi perkara khusus tentang risalah dan perutusan al-Qur’an yang perlu dibincangkan jika sekiranya kita ingin berbicara tentang hubungkait antara bahasa Arab sebagai bahasa al-Qur’an dan bahasa suci agama dan umat Islam dan bahasa Melayu yang merupakan bahasa utama di rantau Asia Tenggara. Isu ini sangat menarik dan ia perlu dibincangkan dengan merujuk langsung kepada sejarah penerimaan perutusan al-Qur’an oleh rumpun bangsa Melayu. Isu ini juga bersangkutpaut dengan peranan agama Islam sebagai pengimbang antara ajaaran yang universal dan ajaran yang khusus, antara prinsip-prinsip syariah yang terakandung dalam al-Quran dan adat resam tempatan, antara tuntutan keagamaan dan tuntutan keetnikan atau tuntutan hak suku bangsa. Semua hal ini wajar diperjelaskan dalam usaha kita menyebarkan risalah al-Qur’an dalam kontek alam Melayu.

Kunci kekuatan umat yang akan membawa kepada kejayaan dan kemenangan: kekuatan diri individu yang berpunca daripada tazkiah jiwa (tazkiat al-nafs). Tegas al-Qur’an:

Demi jiwa dan kesempurnaan perlembagaan yang diberi kepadanya; dan kesedarannya tentang kesalahannya dan tentang kebaikannya. Sesungguhnya menanglah dia yang membersihkannya; dan gagallah dia yang mengotorinya.[5]

Sesungguhnya menanglah kaum mukminum; iaitu mereka yang khusyuk dalam solat mereka; dan yang mengelakkan daripada percakapan sia-sia; dan yang mengamalkan amalan berzakat; dan yang memelihara kemaluan mereka.....; yang menjaga amanah dan perjanjian mereka; dan yang memelihara solat mereka.[6]

Dakwah dan tabligh: satu lagi kunci kekuatan dan kemenangan umat

Marilah kita renungkan ayat-ayat berikut demi kejayaan aktiviti dakwah dan tabligh kita:

Dan tugas dan tanggungjawab kami hanyalah untuk menyampaikan mesej yang jelas (al-balagh al-mubin).[7]

Serulah mereka ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang indah; dan berhujahlah dengan mereka (jadilhum) dengan hujah yang terbaik kerana sesungguhnya Tuhanmu lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya dan siapa yang mendapat petunjuk.[8]

Penutup

Umat Islam perlu melipatgandakan usaha dakwah tetapi usaha ini perlu dijalankan secara tersusun, secara hikmah dan perlu mengambil kira jenis cabaran semasa yang dihadapi oleh umat. Semoga Allah s.w.t memberkati usaha kita. Wabihi nasta’in.



[1] Al-Qur’an, surah 33, ayat 40.

[2] Al-Qur’an, surah 61, ayat 9.

[3] Al-Qur’an, surah 13, ayat 11.

[4] Al-Qur’an, surah 33, ayat 62.

[5] Al-Qur’an, surah 91 (al-Shams), ayat-ayat 7-10.

[6] Al-Qur’an, surah 23 (al-Mu’minum), ayat-ayat 1-9.

[7] Al-Qur’an, surah 36 (Ya Sin), ayat 17

[8] Al-Qur’an, surah 16 (al-nahl, ayat 125.

No comments: