Saturday, August 13, 2011

Pembaziran Gugat Kelestarian Alam

Laporan Akhbar Sinar Harian beberapa ketika lalu berkenaan kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani mengenai bekalan makanan sepanjang bulan Ramadhan dan Hari Raya Aidil Fitri menarik perhatian saya. Beliau menyatakan bahawa sepanjang bulan Ramadhan ini jumlah ayam ditambah sehingga 340,000 ekor sehari. Ini bagi menampung keperluan negara yang berjumlah 1.3 juta ekor ayam sehari. Selain dari itu bekalan bahan mentah lain seperti daging, sayur-sayuran dan sebagainya ditambah antara 15 ke 20 peratus sepanjang bulan Ramadhan ini.

Kita tinggalkan dulu laporan tersebut. Mari kita lihat satu kajian dalam disiplin ekologi mengenai hubungan antara haiwan mangsa dan pemangsa (prey-predator relationships). Kajian mengenai jumlah populasi sejenis arnab dan kucing hutan di Kanada.


Sumber: http://www.globalchange.umich.edu/globalchange1/current/lectures/predation/predation.html

Dari graf tersebut dengan jelas kita akan dapati jumlah kucing hutan tersebut berkadar terus dengan jumlah arnab. Pertambahan kucing hutan tersebut sejajar dengan pertambahan arnab. Ini disebabkan arnab merupakan makanan kucing hutan tersebut. Ia menunjukkan jumlah mangsa dalam hal ini arnab mampu menjadi petunjuk kepada jumlah pemangsa.

Inilah corak yang kita perolehi dari alam semulajadi. Makanan merupakan salah satu elemen teras dalam menentukan kemandirian satu-satu organisma. Tanpa makanan kemandirian organisma itu akan terjejas.

Tidak timbul persoalan hidup untuk makan. Makanan yang mencukupi akan menjamin keberlangsungan kehidupan. Makanan diambil sekadarnya sahaja tanpa ada sebarang pembaziran.

Berbalik kepada kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani mengenai pertambahan bekalan makanan di bulan Ramadhan ini. Jika kita memerhatikan corak hubungan antara mangsa dan pemangsa tersebut, beberapa persoalan akan timbul dibenak fikiran kita.

Persoalan yang pertama, pertambahan makanan akan mengizinkan pertambahan pemakannya. Jadi berlakukah pertambahan jumlah umat Islam di Malaysia sewaktu bulan Ramadhan? Dan mengapakah bulan Ramadhan sahaja?

Jika tidak, persoalan yang berikutnya pula timbul iaitu, adakah umat Islam di Malaysia makan lebih banyak semasa bulan Ramadhan?

Dari kedua-dua persoalan, rasanya yang kedua lebih realistik sifatnya. Ini kerana populasi umat Islam tidak begitu ketara pertambahannya khususnya di Malaysia. Apatah lagi ia hanya melibatkan bulan Ramadhan ini sahaja.

Isu ini menjadi semakin menarik untuk kita bincangkan. Jika kita ingin membuat satu pernyataan, umat Islam di Malaysia semakin banyak makan sewaktu bulan Ramadhan, agak janggal bunyinya dan kelihatan ironik dengan rutin Ramadhan itu sendiri. Banyak makan hanya di waktu malam? Mungkin ada yang bertambah makannya dari suku ekor ayam kepada setengah ekor ayam. Atau dari dua pinggan nasi kepada tiga atau lebih pinggan nasi, dari dua gelas air kepada empat gelas air. Benarkah demikian?

Jika tidak ia akan berpindah kepada satu situasi yang lebih menakutkan iaitu PEMBAZIRAN. Pembaziran adalah satu perbuatan yang berupaya mengundang kemurkaan Allah. Jika demikian halnya, maka kita sewajarnya memohon ampun dan belas kasihan Allah dengan lebih giat dan bersungguh-sungguh lagi. Sepatutnya dalam bulan Ramadhan ini kita menggamit rahmat Ilahi, mendakap keampunanNya dan memperoleh keredhaanNya.

Wallahua’alam.

No comments: