Saturday, August 13, 2011

Majlis Pelancaran Kempen Seorang Sekampit Beras Sekotak Kurma




Pada 12 Ogos (Jumaat), ABIM dan WADAH Sabah telah melaksanakan Majlis Pelancaran Kempen Seorang Sekampit Beras Sekotak Kurma. Setiausaha Kewangan ABIM Sabah, Sdr. Jaafar Mahmud berkata sumbangan daripada kempen ini akan disampaikan kepada golongan yang memerlukan.

Menurut beliau, kempen berkenaan bertujuan mengumpul sumbangan daripada orang ramai seperti beras dan kurma untuk disampaikan kepada golongan fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal serta golongan yang memerlukan. Selain daripada sumbangan barangan terbabit, pihaknya turut menerima sumbangan lain seperti wang tunai.

Beliau berkata, selain daripada masyarakat setempat, agensi dan syarikat daripada sektor awam dan swasta turut membantu menghulurkan sumbangan untuk menjayakan kempen berkenaan. "Setakat ini, kita sudah menerima lebih RM 3,000.00 sumbangan wang tunai dan lebih 100 kampit beras", katanya ketika berucap pada majlis penyerahan sumbangan kepada 20 orang penerima sekitar bandaraya.

Jaafar berkata, beras dipilih kerana ia adalah makanan utama rakyat di negara ini dan kurma pula sebagai simbolik pada bulan Ramadhan yang mana buah berkenaan jarang didapati pada bulan lain. Tambahnya, penyerahan sumbangan ini bukan setakat dijalankan di kawasan sekitar bandaraya sahaja, tetapi ia turut diadakan di daerah lain seperti Ranau dan Tuaran.

"Esok (13 Ogos) kami akan mengadakan majlis penyerahan sumbangan di tiga buah kampung di Ranau dan selepas itu akan diadakan di dua buah kampung di Tuaran", katanya. Selain itu Sdr. Jaafar menjelaskan pihaknya akan meneruskan usaha mengumpul sumbangan Ramadhan ini sehingga minggu ketiga bulan Ramadhan. "Kami mahu orang lain khususnya mereka yang kurang berkemampuan dan memerlukan turut merasai suasana Ramadhan sebagaimana masyarakat lain dan begitu juga sambutan Hari Raya nanti.

"Justeru, dengan adanya sumbangan daripada orang ramai, ianya diharap dapat membantu mengurangkan sedikit bebanan mereka", katanya. Beliau turut berharap usaha yang dijalankan ABIM dan WADAH Sabah ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang dengan melibatkan lebih ramai penyumbang memandangkan ia adalah acara tahunan ABIM dan WADAH. Pada majlis tersebut, penerima sumbangan termasuklah 10 orang anak yatim daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Tansau, Putatan, ibu tunggal serta fakir miskin.

(Petikan Utusan Borneo, Sabtu, 13 Ogos 2011. Tulisan Siti Aisyah Narudin, emel aisyahub@gmail.com)

No comments: