Monday, September 19, 2011

Jangan Rumitkan Fakta Sejarah


Kemerdekaan merupakan intisari daripada makna kebebasan. Kebebasan bernegara, kebebasan bersikap, kebebasan menyuarakan pandangan asal sahaja ia tidak menyimpang dengan garis-garis besar perlembagaan. Sejak dari bangku sekolah lagi warga telah diajar untuk mengerti dan memahami makna kemerdekaan. Perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan telah diperkenalkan sebagai wira agung pencetus kewujudan sebuah negara berdaulat yang ditunjangi Islam sebagai agama rasmi. Malahan citra kemerdekaan telah dididik dan ditanam sedalam-dalamnya dalam diri warga agar jati diri bangsa terpahat dan terpateri kukuh di dada para warga walau di mana mereka berada. Pahitnya sebuah perjuangan kemerdekaan ini bukan kepalang. Pelbagai usaha, rencana dan pengorbanan getir ditaruh dan akhirnya kita berjaya juga menikmati kemanisannya yang datang bersama laungan kemerdekaan oleh Bapa Kemerdekaan Malaysia Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj. Sejak dari detik itu, warga dengan rasa bangga telah mampu berdiri sama tinggi dengan bangsa dan negara-negara berdaulat yang lain. Untuk itu, beberapa agenda besar negara dan pembangunan diangkat di bumi berdaulat ini agar bangsa dan negara lain melihat warga juga punya kehebatan dan cita-cita yang tinggi mengkaryakan misi kemanusiannya di muka bumi ini sebagai Khalifah yang diutus untuk memakmurkan dan mentadbir bumi bertuah Malaysia.

Namun, faham kemerdekaan di jiwa warga khususnya belia hampir sahaja luluh lantaran kejutan fakta dari sebuah institusi penting negara yang mengungkapkan bahawa selama ini kita tidak pernah dijajah. Kepedihan ini bertambah dengan kenyataan pembenaran seorang negarawan berupa rempah ratus pelengkap kata, sememangnya dari sudut teknikal kita tidak pernah dijajah. Hanyasanya Sultan kita telah memutuskan menjemput British untuk menjadi penasihat bagaimana mentadbir negara ini. Demikianlah pedih ungkapan itu sehingga warga khususnya belia menjadi bingung dan resah. Mungkin sahaja perkataan jajahan (colony) dan negeri lindungan (protectorates or protected states) yang merupakan konsep undang-undang antarabangsa difahami secara sempit sehingga meletakkan fakta bahawa negara ini tidak pernah dijajah semudahnya diungkapkan. Natijahnya, warga mula mempertikai makna kemerdekaan yang kita laungkan, raikan dan sambut saban tahun selama 54 tahun berlalu sebagai cetusan dan tanda gejolak emosi dan rasa berupa nukilan protes di laman-laman sosial.

Tidak cukup dengan itu, warga khususnya belia pastinya bertambah keliru, gusar, sedih dan malu. Keliru lantaran makna “Negara berdaulat” telah difahami secara salah. Gusar disebabkan sewenangnya kelak warga khususnya belia tidak mahu lagi memaknai kemerdekaan itu dan meletakkan pada kedudukan terbawah dalam keutamaan hidupnya. Sedih kerana pernyataan kita tidak pernah dijajah akan merubah dan menghapus sedikit sebanyak jati diri dan beridentiti sebagai sebuah bangsa yang berdaulat. Malu untuk mengangkat wajah kerena kemerdekaan yang ditanam kukuh dalam dirinya selama ini hanyalah kemerdekaan plastik yang rapuh dan tidak kukuh ditafsir sesukanya oleh mereka yang punya kepentingan tertentu.

Anak-anak dibangku sekolah mungkin sahaja belum boleh lagi memahami polemik ini sematangnya. Mereka sebagaimana kita ketika berada dibangku persekolahan menerima sahaja tanpa ada perasaan ragu-ragu dan berkira-kira. Tatkala, kematangan aqal mengisi dan memenuhi diri anak-anak kita, pastinya mereka akan bungkam, kecewa dan marah kerana selama ini rupanya generasi seniornya menipunya hidup-hidup. Negara pastinya goyah sedahsyatnya pada masa itu, anak-anak kita menuduh kita culas dan melempar sejauhnya semua gula-gula dan kemanisan pembangunan jati diri agama dan negara bangsa yang kita perjuangkan selama ini. Itulah juga hakikatnya yang hampir berlaku pada ketika ini. Warga khususnya belia, pastinya sudah mula sensitif dan membongkar seluruh khazanah sejarah bagi mententeramkan roh fakta yang ditanam kukuh diminda dan jiwa mereka sejak dari bangku sekolah lagi. Kecanggihan dan kemudahan untuk memperoleh maklumat melalui medium digital pada hari ini, sudah tentu mempercepatkan lagi penggalian fakta-fakta tersembunyi atau sengaja disembunyikan. Jika terbongkar dan terungkap seluruhnya kebenaran sebenar, mungkin tiada kemaafan akan diberikan kepada warga yang mencipta dan mengkarya tulisan-tulisan sejarah yang dijadikan teks rujukan kita pada hari ini. Untuk itu, Angkatan Belia Islam Malaysia Negeri Sabah (ABIM Sabah) menyeru dan menggesa agar

1. Penulisan dan pengkisahan semula sejarah kemerdekaan setepatnya dimulakan tanpa meninggalkan tokoh-tokoh penting walau apa dan sekecil mana pun sumbangannya dalam mencetuskan fenomena kemerdekaan.

2. Perbincangan secara terbuka di dada massa dihentikan serta merta. Tidak ada ruginya memberhentikan perbincangan itu demi menjaga keutuhan dan perpaduan warga dari terus berpolemik yang boleh menyemarakan dendam, emosi dan rasa tidak puas hati.

3. ABIM Sabah menggesa dibentuk sebuah jawatankuasa khusus yang bebas dan berdaulat mengkaji dan menulis semula teks sejarah baik di sekolah mahupun di institusi pengajian tinggi agar suatu teks sejarah yang komprehensif dan tepat dibaca oleh warga seluruhnya.

4. Mengiktiraf kesemua sumbangan tokoh-tokoh penting dalam menentang penjajah sebelum era kemerdekaan khususnya golongan agamawan dan tidak ketinggalan juga tokoh-tokoh dari kepulauan Borneo tanpa ada rasa prajudis atau perkauman.

5. Menjadikan teks sejarah sebagai matapelajarann wajib lulus diperingkat pengajian tinggi dan persekolahan agar warga sedar dan tahu secara tepat dan jujur pembinaan negara bangsa Malaysia sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka hingga ke zaman moden ini.


Dr. Abdullah Bade
Yang Dipertua
Angkatan Belia Islam Malaysia Negeri Sabah
(ABIM Sabah)

No comments: