Tuesday, October 11, 2011

Kursus Dakwah Through Mosque Tour




Industri pelancongan di negeri bawah bayu ini sangat memberansangkan. Ramai pelancong daripada dalam dan luar negara berkunjung ke negeri Sabah. Merujuk kepada statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah, seramai 2.5 juta pelancong daripada dalam dan luar negara telah mengunjungi negeri Sabah pada tahun 2010.

Masjid antara tempat utama yang akan dikunjungi khususnya buat pelancong daripada negara China, Jepun dan Korea dimana mereka mengunjungi masjid dalam kuantiti yang ramai. Pelancongan asing daripada negara lain seperti Amerika Syarikat, Australia, Jerman dan lain-lain lagi turut berkunjung ke masjid tetapi dalam kuantiti yang sedikit. Antara masjid yang biasanya dikunjungi oleh pelancong asing adalah Masjid Negeri Sabah dan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu. Kebanyakan mereka suka mengambil foto kenangan di masjid dan ingin mengetahui tentang Islam. Apabila mereka berkunjung ke masjid, tidak ramai yang boleh menyambut kehadiran mereka dan menerangkan kepada mereka tentang Islam.

Atas inisiatif tersebut, pada 14-16 Oktober 2011 (Jumaat hingga Ahad) baru-baru ini, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sabah bersama Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan & Alam Sekitar, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Negeri Sabah & Islamic Outreach ABIM (IOA) telah menganjurkan Program Da'wah Through Mosque Tour (Dakwah Melalui Pelancongan Masjid) yang telah dirasmikan oleh Tuan Haji Abdul Jamal Tun Haji Sakaran, Pengerusi Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.

Antara objektif utama pelaksanaan program ini adalah memberi latihan, kefahaman dan kemahiran kepada pemandu pelancong masjid untuk memberi penerangan kepada pelancong yang berkunjung ke masjid tentang Islam. Disamping itu juga, program ini telah membuka ruang dan peluang untuk dakwah melalui pelancongan masjid.

Seramai 50 orang peserta yang mengikuti program ini yang terdiri daripada pensyarah, pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA / IPTAS), penjawat awam dan swasta, NGO dan individu yang berminat menyampaikan Islam melalui pelancongan masjid.

Program ini telah diisi oleh mereka yang berpengalaman dalam bidang pelancongan masjid daripada Islamic Outreach ABIM yang telah mengendalikan program pelancongan masjid di beberapa buah masjid di Malaysia seperti Masjid Negara, Masjid Wilayah Persekutuan, Masjid Putra Putrajaya dan Masjid Al-Azim Melaka. Rombongan daripada Islamic Outreach ABIM yang datang memberikan latihan dan berkongsi ilmu diketuai oleh Puan Hajah Normah Sulaiman, Naib Pengerusi Islamic Outreach ABIM (IOA).

No comments: