Wednesday, November 2, 2011

ABIM Sabah Memandang Serius Isu Kenaikan Harga Rumah Yang Terlalu Tinggi Dan Mahal Di Kawasan Bandar

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sabah memandang serius isu kenaikan harga semua jenis rumah yang terlalu tinggi di kawasan bandar dan telah menjadi bebanan buat warga di Sabah terutama sekali bumiputera dengan sebahagian besarnya adalah mereka daripada golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

ABIM Sabah melihat purata harga sebuah rumah, sama ada yang baru dibina mahupun rumah-rumah telah siap dibina adalah terlalu tinggi dan membebankan warga dengan purata harga bagi rumah teres satu tingkat bermula RM 230,000, rumah teres dua tingkat bermula dari RM 320,000 dan boleh mencecah RM 450,000 serta apartment tiga bilik sekitar RM 200,000. Situasi ini boleh kita perhatikan di kawasan Bandar dan berhampiran dengan Bandar iaitu daripada kawasan Papar hingga ke kawasan Tuaran.

Berdasarkan dapatan yang dikeluarkan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta sebagaimana Jadual Data Indeks Harga Rumah Malaysia bagi suku kedua tahun 2011, secara keseluruhannya indeks harga rumah di Malaysia telah meningkat sebanyak 7.5% berbanding suku tahun yang sama 2010 dengan catatan 150.7 mata. Pada suku pertama tahun 2011, indeks harga rumah adalah 149.1 mata dan telah meningkat sebanyak 9.0% sekiranya diambil perbandingan suku tahun yang sama 2010. Perincian lebih lanjut mendapati, perkara yang amat membimbangkan ABIM Sabah adalah pergerakan dari suku tahunan sebelumnya bagi suku kedua tahun 2011 yang mana Sabah dan Terengganu mencatatkan kenaikan tertinggi dengan masing-masing sebanyak 15.1%. dan 15.5%.

Turut dilaporkan bahawa pada suku pertama tahun 2011, harga rumah purata diseluruh Negara meningkat sehingga RM206,513 dengan harga tertinggi telah direkodkan di Kuala Lumpur sebanyak RM438,150 diikuti oleh negeri Sabah sebanyak RM325,676. Manakala Selangor yang merupakan negeri maju di Malaysia hanya mencatatkan purata harga rumah sehingga RM307,586. Pada suku kedua tahun yang sama harga rumah purata di Malaysia telah meningkat sebanyak RM208,725 dengan Kuala Lumpur sekali lagi mencatatkan peningkatan tertinggi iaitu RM442,864 dan Sabah masih menduduki tangga kedua dengan harga rumah purata RM341,222. Selangor ditempat ketiga sebanyak RM318,322. Jika dibandingkan dengan negeri jiran iaitu Sarawak, harga rumah purata hanya RM266,596.

Justeru, akibat daripada harga rumah yang terlalu tinggi ini, ABIM Sabah melihat bahawa golongan yang berpendapatan sederhana dan rendah ini terpaksa memilih untuk tinggal di kawasan pinggiran Bandar dan kawasan luar Bandar. Secara demografinya, proses penyusunan strata masyarakat berasaskan ekonomi dan pendapatan isi rumah ini telah berlangsung malah akan berjalan dengan lebih pantas lagi. Bumiputera yang secara majoritinya berpendapatan sederhana dan rendah walaupun bekerja di kawasan Bandar telah mula diasingkan secara senyap dan tersusun. Warga yang mempunyai pendapatan mewah dan tinggi sama ada dari jalur perniagaan dan korporat sahaja berpeluang untuk berada di Bandar. Sekiranya perkara ini terus berlaku, ABIM Sabah berpandangan ia merupakan satu kerugian besar khususnya warga yang berpendapatan rendah dan sederhana. Hasrat kerajaan untuk membolehkan setiap warga khususnya Bumiputera memiliki rumah dan hasrat pemakmuran ekonomi dan keadilan sosial dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh pastinya akan terkesan.

ABIM Sabah mencadangkan agar pihak berkuasa tempatan melaksanakan tindakan pemantauan dan kelulusan yang lebih agresif agar pemaju-pemaju perumahan membina dan memperbanyakkan rumah-rumah yang mampu dimiliki oleh warga yang berpendapatan rendah dan sederhana. Selain itu, ABIM Sabah juga menolak tuntutan dan gesaan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) agar peruntukan kuota bumiputera disemak semula atas alasan menjadi punca utama pemaju menanggung kerugian sebagaimana di laporkan dalam Berita Harian Online pada 3 Oktober 2011. Tuntutan sedemikian dilihat terlalu berorientasikan keuntungan tanpa mengambil kira sensitiviti, keupayaan dan kekuatan ekonomi warga yang berpendapatan rendah dan sederhana.

ABIM Sabah turut mencadangkan agar rumah kos rendah perlu menyediakan ruang yang mempunyai tiga bilik tidur agar ibubapa, anak lelaki dan anak perempuan dapat dipisahkan tempat tidur mereka. Suasana rumah seperti ini amat penting agar keluarga berkenaan mempunyai ruang yang lebih selesa untuk mendidik serta membesarkan anak-anak mereka dan sebagai satu langkah awal pengurangan masalah kebobrokan sosial.

ABIM Sabah menyokong penuh kenyataan Yang Berhormat Datuk Hajiji Hj. Mohd Noor, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebelum ini agar semua projek perumahan yang dibangunkan di negeri ini perlu mempunyai Masjid atau Surau untuk kegunaan dan kemudahan orang-orang Islam yang tinggal di sekitarnya.

Di samping masjid, projek perumahan yang dibangunkan juga perlu mengambil kira pembinaan dewan serbaguna, padang permainan yang selamat, blok rumah kedai dan kemudahan seumpamanya. Keperluan-keperluan asas ini amat penting agar masyarakat dapat hidup dalam suasana kejiranan yang lebih harmoni, mesra dan baik.

ABIM Sabah turut menyokong penuh sekiranya ditubuhkan satu Jawatankuasa khas yang melibatkan Kerajaan, Kerajaan Tempatan, NGO dan pemaju yang bertujuan memantau dan mengawal harga jualan semua jenis rumah yang tidak membebankan rakyat dan tidak juga merugikan pemaju. Apa yang lebih penting, penubuhan Jawatankuasa Khas ini pastinya memberi sumbangan besar agar hasrat pemilikan rumah di kalangan Bumiputera di kawasan Bandar mahupun pinggi Bandar menjadi kenyataan.

No comments: