Saturday, November 12, 2011

Rencana 30 Tahun ABIM Sabah Bhgn 2


Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sabah: Tiga Dekad di Persada Dakwah

Bahagian 2

Oleh:

Dr. Abdullah Bade

Yang Dipertua ABIM Sabah

PENGENALAN

Bahagian kedua siri rencana penulisan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sabah ini sempena menyambut ulang tahunnya yang ketiga puluh memfokus kepada pencapaian dan sumbangannya dalam meniti dan mengharungi laluan dakwah di bumi Sabah. Perlu ditegaskan lagi bahawa sesungguhnya terlalu banyak pengalaman berharga datang dan pergi memberi suatu peringatan yang amat bermakna. Kesemua pengalaman dan siri peristiwa ini menguatkan semangat dan azam ahli untuk terus teguh memegang cita-cita besar gerakan “Membina Tamadun Khayrah Ummah”. Sebuah tamadun umat manusia yang syumul mengangkat nilai keadilan dan kebenaran ketahap setingginya bagi memenuhi misi mengeluarkan umat dari kegelapan kebodohan dan kebebalan kepada cahaya iman dan keunggulan ilmu.

Malah seiringan dengan misi itu, ABIM juga terus berazam dengan iltizam tinggi untuk membebaskan umat dari gelapnya kezaliman dan kerendahan akhlak kepada terangnya keadilan dan ketinggian aqal budi yang merupakan antara tugas penting Ar-Rasul SAW yang diwariskan kepada umat. Justeru atas prinsip ini, ABIM Sabah akan terus mengorak langkah agar kelangsungan generasi muda yang berbudaya transformatif liberatif memenuhi segenap ruang dan peluang dakwah terus tercipta bagi memenuhi syarat-syarat generasi Al-Falah (kemenangan).

ANTARA SUMBANGAN

ABIM Sabah dalam usianya tiga dekad ini menggariskan beberapa sumbangan dan pencapaian penting yang telah diangkat ditengah umat bumi di bawah bayu antaranya:

Pertama- berhasil memperkenalkan konsep Islam sebagai satu cara hidup (ad-deen hayah) yang lengkap dalam aspek kehidupan melalui siri-siri Kursus Kesedaran Islam, Kursus Kerohanian dan Fardhu Ain, Seminar Wanita Islam Sabah dan ceramah umum.

Kedua- mendidik umat, membangun pemikiran melalui program keilmuan. Sumbangan ABIM yang sangat signifikan kepada pembangunan umat ialah menganjurkan program keilmuan yang berfokuskan mendidik aqal budi.

Ketiga- prihatin terhadap nasib masyarakat Islam Sabah. ABIM Sabah menganjurkan Seminar Pengaruh Islam Dalam Budaya Suku Kaum Di Sabah, yang bertujuan mengetengahkan peranan Islam sebagai faktor pemersatu masyarakat Islam Sabah yang berbilang suku kaum. Pemimpin dan ahli ABIM atas kapisiti sebagai pegawai kerajaan dan individu bergerak ke seluruh Sabah menyampaikan mesej dakwah dan perpaduan.

Keempat- menyediakan program asas pendidikan Islam dan pendidikan menengah. ABIM Sabah menubuhkan Taman Asuhan Kanak-kanak Islam (TASKI) bagi menyemai pendidikan Islam dalam insan sejak usia kanak-kanak lagi. Selain itu, ABIM menganjurkan Seminar Pendidikan Islam, Seminar Pembudayaan Sains dan Matematik Dalam Masyarakat Islam dan Program Pemantapan Akademik. Semua program tersebut mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

Kelima- mengangkat sumbangan umat Islam dalam sejarah negeri Sabah. Peranan Islam dalam sejarah Sabah sangat besar dan penting sekali diketahui oleh generasi muda. ABIM Sabah mengadakan program Seminar Memperingati Tokoh secara bersiri untuk mengenali tokoh-tokoh masyarakat Islam dan memahami sumbangan mereka.

Keenam- mengukuhkan perpaduan umat Islam. Selepas kemenangan Barisan Nasional pada tahun 1994, ABIM Sabah turut berusaha membangun dan memperkuatkan masyarakat Islam. Pada tahun yang sama ABIM Sabah menganjurkan Seminar Pembangunan Sabah Menjelang Abad 21, sebagai manifestasi cita-cita ingin melihat umat Islam Sabah maju ke hadapan dalam semua aspek kehidupan.

Ketujuh- bertindak sebagai juru bicara dalam mempertahan dan membela nasib umat Islam. ABIM Sabah berperanan mendedah dan menyalurkan maklumat tentang penderitaan umat Islam di luar Negara dengan melancarkan Tabung Derma Palestin, bantahan terhadap pencerobohan Russia ke atas umat Islam di Afghanistan dan melancarkan Tabung Afghanistan, Tabung Bosnia dan Tabung Tak Bai serta Somalia, sebagai tanda rasa ukhuwah umat Islam di Sabah dengan umat Islam di luar negara. Selain itu, ABIM Sabah membuat bantahan terhadap buku ‘Prophet Muhammad´ di Perpustakaan Negeri, aktiviti perjudian yang berleluasa, cadangan pembinaan kasino di Sabah, sikap berat sebelah SUHAKAM dalam isu Maang, isu pembinaan Patung Mazu di Kudat, dan menyatakan sokongan terhadap cadangan pengharaman Black Metal di Negara ini. ABIM Sabah juga turut menyangkal dan membantah kenyataan Pope Benedict dalam isu tentang Nabi Muhammad s.a.w, begitu juga dengan penggunaan kalimah Allah untuk digunapakai oleh agama selain Islam.

Kelapan- menyantuni masyarakat dengan program kemasyarakatan. ABIM menyantuni masyarakat dengan mengadakan majlis gotong-royong membaiki masjid, mengimarahkan masjid, projek kampung angkat dan bantuan kepada mangsa kebakaran, membudayakan ibadah qurban. Program Kembara Amal pula adalah aktiviti bersama masyarakat di luar Bandar. Program Ihya Ramadhan Membina Belia Bertaqwa pula adalah khusus untuk golongan belia di seluruh negeri.

Kesembilan-bersama menangani kebejatan akhlak dan moral. Dengan penganjuran seminar, perbincangan meja bulat, dan saranan serta resolusi.

Kesepuluh- menganjurkan program dakwah kepada non-muslim dan dialog. ABIM turut berdakwah kepada masyarakat bukan Islam melalui program Islamic Outreach ABIM (IOA) dan penubuhan Islamic Information Centre (IIC) yang berpangkalan di pejabat ABIM Sabah.

Kesebelas- memantapkan hubungan dan kerjasama sesama Pertubuhan Sukarela Islam (PSI) dan Jabatan-jabatan Kerajaan. Pemimpin dan ahli ABIM turut memberi sumbangan pemikiran dan pandangan dalam pelbagai majlis, misalnya Majlis Perundingan Belia Negeri, Dialog, Seminar anjuran Kementerian Belia dan Sukan Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan Sabah dan penubuhan Majlis Gabungan ngo-ngo Islam Sabah (Concern).

Sebagai kesimpulan, sejak penubuhannya 30 tahun lalu, ABIM Sabah telah membantu mengisi kemerdekaan dengan mendidik umat, menyatupadukan masyarakat, membantu membina suasana politik yang stabil dalam negeri dan seterusnya negara, membela kepentingan umat menerusi advokasi dalam pelbagai isu melibatkan belia dan kemanusiaan, membantu menyediakan pemimpin pelapis yang baik dan bertanggungjawab yang memberi manfaat kepada semua suku, bangsa dan agama menerusi aktiviti dakwahnya. Sokongan masyarakat terhadap program keilmuan dan advokasi ABIM amat memberangsangkan bahkan dicontohi dan mula dibudayakan oleh pihak lain.

ABIM Sabah diterima dengan baik oleh rakan-rakan dalam MBS, MBM, Concern dan jabatan kerajaan yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama dan belia. Harus disedari bahawa realiti permasalahan di Sabah tidak sama dengan negeri-negeri lain di Malaysia. Kini ABIM Sabah berjaya membuktikan bahawa peranannya adalah sangat strategik dalam pembinaan negeri khususnya dan Negara amnya. Kekuatan ABIM Sabah terletak kepada dua unsur penting iaitu ketinggian Islam sebagai risalah yang dibawa dan dinamika belia yang mendokong perjuangannya.

No comments: