oleh Siti Aisyah Narudin, Wartawan Utusan Borneo
KOTA KINABALU: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dianggap sebagai satu pertubuhan yang realistik terutamanya dalam memperjuangkan isu berkaitan masalah sosial. Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun berkata selain mampu mengurus aktivitinya dengan baik, ABIM juga sentiasa praktikal dalam menganjurkan sesuatu tindakan. Menurutnya, pertubuhan itu sentiasa mengambil tindakan susulan bagi setiap teguran yang dibuat.
"Ini yang menjadi kelebihan pada ABIM berbanding organisasi bukan kerajaan (NGO) yang lain", katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Sambutan 30 Tahun ABIM Sabah dan Kuliah Tafsir Maudhu'iy Siri Ke-17 di sini kelmarin. Masidi berkata, dalam usaha memperbetulkan setiap kepincangan yang berlaku dalam masyarakat, ABIM turut memberikan kerjasama untuk membantu menyelesaikan masalah yang timbul. Katanya, jika semua NGO mampu melaksanakan tugas sebagaimana apa yang dibuat ABIM, sudah tentu ia dapat membantu kerajaan dan juga masyarakat.
"Sekarang ini, pelbagai isu sosial yang melibatkan golongan belia semakin berleluasa seperti graduan menganggur. Justeru, saya berharap pihak ABIM di negeri ini turut mengambil perhatian terhadap isu seperti ini yang mana ia boleh mengancam golongan belia", katanya. Masidi juga turut mengingatkan kepada golongan belia agar berusaha untuk menccipta kerjaya sendiri tanpa memilih pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan yang dimiliki. Tambahnya, selaras dengan matlamat pendidikan negara yang mahu melahirkan golongan yang mampu berdikari, belia sepatutnya bijak dalam mencari kerjaya yang mendatangkan pendapatan untuk diri dan keluarga.
Beliau berkata, jika dilihat dari aspek seperti kerja dalam sektor pembinaan, negara masih lagi banyak bergantung kepada tenaga kerja asing. "Jika kita terlalu bergantung kepada pekerja asing, ini boleh menyebabkan negara kehilangan kepakaran dalam sektor terbabit. Oleh itu, golongan belia sepatutnya mengambil setiap peluang yang ada dan mempergunakannya dengan sebaik mungkin bagi mencapai kejayaan dalam hidup", katanya. Pada majlis itu, Masidi turut melancarkan buku bertajuk Resolusi Pendidikan dan Pembangunan Bersama Umat hasil karya ABIM Sabah.
(Sumber: Utusan Borneo, 20 November 2011, Ahad)
No comments:
Post a Comment