Sunday, January 10, 2010

Memorandum Isu Penggunaan Kalimah Allah

MEMORANDUM ISU PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH

ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) NEGERI SABAH

8 Januri 2010

Diserahkan kepada

Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sabah

Tun Datuk Seri Panglima Haji Ahmadshah Bin Abdullah

Y.A.B. Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman

Ketua Menteri Sabah

Pimpinan Negeri Sabah Yang Beragama Islam

  1. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sabah dengan penuh hormatnya ingin menyatakan rasa kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Disember 2009 yang telah membenarkan Herald: The Christian Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penulisan dan penerbitan mereka.
  2. ABIM Sabah ingin melahirkan rasa bimbang terhadap implikasi jangka pendek dan jangka panjang berikutan keputusan tersebut lebih-lebih lagi ke atas umat Islam Negeri Sabah yang sedia dan selalu bertembung dengan gerakan Kristianisasi.
  3. ABIM Sabah bimbang keputusan tersebut akan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam khususnya golongan muda dan akan menyebabkan berlakunya perpecahan di kalangan rakyat Malaysia di Sabah yang berbilang agama, bangsa dan kaum seterusnya menjerumuskan negeri dan negara kita ke kancah kacau-bilau dan ketidakstabilan politik.
  4. ABIM Sabah khuatir keputusan tersebut akan membuka ruang pertembungan dan penghinaan terhadap umat Islam yang mungkin sukar dikawal akibat daripada penggunaan kalimah Allah yang meluas oleh kalangan bukan Islam.
  5. ABIM Sabah menegaskan bahawa kalimah Allah mestilah diletakkan di tempatnya yang sewajarnya menepati makna dan maksud sebenar sebagaimana dinyatakan oleh Allah Subhanahu wa Ta`ala sendiri dalam Kitab Suci Al-Quran dan dijelaskan oleh Nabi Muhammad sallaLlahu `alayhi wassalam. Alasan pihak Kristian Katholik bahawa kalimah Allah digunakan dalam penerbitan bahasa Melayu mereka tidak boleh diterima sama sekali kerana kalimah Allah bukanlah berasal daripada bahasa Melayu sebaliknya dari bahasa Arab. Dengan demikian, penggunaan kalimah Allah yang tidak menepati makna sebenar adalah satu kezaliman.
  6. Oleh itu, ABIM Sabah ingin memohon ketegasan dan kebijaksanaan pihak Y.A.B. Ketua Menteri dan Kerajaan Malaysia agar segera mereda seterusnya menyelesaikan isu ini dengan sebaik mungkin melalui saluran undang-undang dan dialog antara agama.
  7. Sehubungan dengan ini juga, ABIM Sabah sekali lagi memohon keprihatinan Kerajaan Negeri Sabah Sabah pimpinan Y.A.B. agar melihat kemungkinan menggubal Enakmen Larangan Dakyah Agama Lain Kepada Orang Islam di Negeri Sabah sebagai suatu usaha memelihara dan memperkukuhkan aqidah umat Islam di negeri yang tercinta ini.

Sekian.

No comments: